RAMLI (tengah) menunjukkan sindiket penipuan pelaburan Goldman Sachs di Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
RAMLI (tengah) menunjukkan sindiket penipuan pelaburan Goldman Sachs di Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Muhaamad Hafis Nawawi dan Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Purata 85 kes sehari direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada mereka yang menjadi mangsa jenayah komersial pada minggu ke 17 pada tahun ini sehingga 28 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sepanjang tempoh sama, 10,106 kes jenayah komersil direkodkan membabitkan nilai kerugian RM866,245,032.

Menurutnya, berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 10,931 kes dan nilai kerugian RM534,393,834.

"Kes bagi tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 8.2 peratus namun nilai kerugian mencatatkan kadar peningkatan sebanyak 62.1 peratus.

"Selain itu, sebanyak 4,880 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah sejak 1 Januari hingga 28 April lalu dan jumlah ini adalah bersamaan 48 peratus dari jumlah kertas siasatan yang dibuka pada tahun ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 4,598 pertuduhan atau bersamaan 42 peratus.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, sebanyak 199,552 akaun bank dikenal pasti JSJK digunakan sindiket penipuan untuk melakukan pemindahan wang mangsa tipu.

Menurut beliau, akaun berkenaan dikenal pasti menerusi portal Semakmule yang berperanan sebagai medium perkongsian maklumat antara polis dan masyarakat.

"Daripada jumlah itu, 99,439 tangkapan berjaya dilakukan. Sebahagiannya iaitu 22,113 atau 22.2 peratus berjaya dituduh di mahkamah.

"Adanya portal Semakmule ini diharap dapat membantu masyarakat untuk menilai dan menentukan kesahihan sesuatu urusniaga atau urusan pembayaran yang sedang mereka lakukan.

"Namun begitu, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak tahu mengenai portal Semakmule yang mana ia membolehkan masyarakat membuat semakan nombor akaun bank individu dan syarikat yang telah dilaporkan terlibat dengan aktiviti penipuan," katanya.

Beliau berkata, adalah diharapkan kemudahan portal ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat dan seterusnya menjadi salah satu 'mekanisma' yang efektif dalam pencegahan jenayah komersil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 12:49 PM