MIKE (depan tengah) bergambar bersama pengamal media pada sidang media MotorManiac Encore 2023 di Bateriku Podium, Shah Alam. FOTO Genes Gulitah
MIKE (depan tengah) bergambar bersama pengamal media pada sidang media MotorManiac Encore 2023 di Bateriku Podium, Shah Alam. FOTO Genes Gulitah
Suliati Asri

MotorManiac, jenama gaya hidup permotoran di bawah naungan syarikat Bateriku (M) Sdn Bhd (Bateriku.com) kembali memeriahkan dunia permotoran menerusi acara tahunannya, MotorManiac Encore Edition 2023.

Berlangsung pada 7 dan 8 Oktober, acara yang turut mendapat sokongan Kementerian Belia Dan Sukan dan Kementerian Pelancongan Malaysia ini diadakan di kawasan letak kereta MyTown Kuala Lumpur bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Menyasar 40,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya, MotorManiac Encore Edition 2023 ini juga tampil dengan kelainan tersendiri.

Bagi penganjuran kali kedua ini, sebanyak 450 kereta daripada Japanese Domestic Market (JDM), Malaysia Domestic Model (MDM), Continental, Concept Cars sehinggalah Supercars yang bakal dipamerkan buat pengunjung.

Berbeza dengan penganjurannya tahun lalu, Motormaniac Encore Edition kali ini tampil dengan kelainan yang mana pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri pelancaran khas kereta projek pertama MotorManiac iaitu Nissan Cefiro A31.

Ketua MotorManiac, Wan Mikhail Faizi Azarol Faizi atau lebih dikenali sebagai Mike berkata, Projek A31 yang dimulakan sejak dua tahun lalu membabitkan kereta berusia 35 tahun dengan modifikasi serta berwajah baharu.

"PROJECT A31 ini adalah simbol keazaman MotorManiac yang tidak pernah berputus asa dalam apapun bagi melahirkan semula kenderaan ini di atas jalan raya.

"Lebih menarik, semua komponen untuk Projek A31 ini diperoleh dari Thailand, Jepun, dan Amerika Syarikat. Manakala proses pemasangan dan pembinaan semula dilakukan oleh pasukan muda Motormaniac dengan bimbingan pakar industri kereta tempatan," katanya pada sidang media yang diadakan, baru-baru ini.

Turut hadir pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com Azarol Faizi Ansari, Pengasas UVR Fairul Irwan Md Jais, Pengarah Kreatif Super Sunday Raffiq Azlan, Muhd Irfan daripada ASDF dan Ketua Pegawai Eksekutif Abstrax, Dr Faiz Izwan Anuar.

Mike berkata, MotorManiac Encore Edition kali ini membawakan kelainan dengan menyediakan kawasan KERETA UNTUK DIJUAL, di mana sebanyak 16 kereta terpilih boleh di beli oleh pengunjung dan peminat kereta ketika acara ini.

"Kami juga teruja untuk mengumumkan kembalinya pertandingan Car Limbo dan 2-Step, acara kegemaran orang ramai pada penganjuran MotorManiac tahun lalu.

"Untuk menghargai penyertaan pempamer pula, kami menyediakan beberapa anugerah iaitu Best Fitment, Best Engine Bay, Best Classic Car dan Best Concept Car," katanya.

Dengan tiket berharga RM10 sehari, MotorManiac ini turut diserikan dengan program dan aktiviti gaya hidup daripada BBOY (breakdance), BMX (basikal) dan Hotwheels (miniatures).

Penjualan pelbagai jenis makanan dan minuman oleh usahawan trak turut diadakan sepanjang acara ini.

Bagi yang ingin melihat sendiri keunikan kereta yang dipamerkan dan merasai kemeriahan MotorManiac Encore Edition 2023 ini, tiket boleh didapati di https://bateriku.com/ticketing/events.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 12:08 PM