(Dari kiri) Ketua Pembangunan Jaringan Bateriku, Muhsin Sabri; Azarol Faizi Zakaria Ansari; Sean Wang dan Timbalan Ketua Pegawai Jualan Allianz General, Sazali Abdul Rahman.
(Dari kiri) Ketua Pembangunan Jaringan Bateriku, Muhsin Sabri; Azarol Faizi Zakaria Ansari; Sean Wang dan Timbalan Ketua Pegawai Jualan Allianz General, Sazali Abdul Rahman.

Kuala Lumpur: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd (Allianz General) menawarkan insurans Allianz PerlindunganKu kepada kumpulan berpendapatan B40 yang didaftarkan di bawah platform Bateriku.com.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd, Sean Wang berkata, insiden sejak dua tahun lalu mendedahkan kekurangan perlindungan insurans dalam kalangan rakyat Malaysia dan sebagai penanggung insurans, tumpuan mereka bagi mencari kaedah yang boleh dibuat merapatkan jurang perlindungan.

"Dengan nilai Bateriku.com dan komitmen teguh kepada pelanggan serta rakan niaga mereka, kami berbesar hati bekerjasama dengan mereka dalam memacu inisiatif ini bagi melindungi segmen B40.

"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat menjangkau bahagian segmen yang lebih besar bukan hanya dalam menawarkan mereka penyelesaian insurans, tetapi pada masa yang sama mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan termasuk menggalakkan mereka bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya," katanya.

Pelanggan sedia ada dan baharu Bateriku.com digalakkan memakai baucar mereka untuk membeli perlindungan Allianz PerlindunganKu dengan menggunakan Baucar Perlindungan Tenang (PTV).

PTV inisiatif kerajaan dalam meringankan beban kewangan golongan B40 sekiranya berlaku kecederaan yang tidak disengajakan.

Sejak penubuhannya pada tahun 2014, Bateriku.com memacu industri bateri automotif di Malaysia ke arah digitalisasi.

Bateriku.com berkembang dengan pesat melalui pelancaran model bateri berdasarkan permintaan dengan membina ekosistemnya yang sendiri: melatih hampir 1,000 orang juruteknik (BHero), membangunkan hampir 100 orang usahawan Bateriku.com (BPreneur) dan lebih 3,000 rakan niaga perkhidmatan dan alat ganti automotif (BBuddy).

Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku (M) Sdn Bhd Azarol Faizi Zakaria Ansari berkata, kini Bateriku.com telah berkhidmat kepada lebih sejuta pelanggan di seluruh negara dan ini telah direalisasikan oleh model berdasarkan permintaan yang didorong oleh kemampuan teknologi, pusat hubungan 24/7/365, lebih daripada 100 kedai dan ekosistem inklusif yang disediakan.

"Sebagai penyedia Bantuan Tepi Jalan Berhubung yang terbesar, kami harus selalu mencari cara untuk

melindungi petugas barisan hadapan kami:Bhero, BPreneur dan BBuddy," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 8:57 AM