FAZA Fayza bersama suaminya menunjukkan trofi yang dimenangi. FOTO Shazreen Zamzuri
FAZA Fayza bersama suaminya menunjukkan trofi yang dimenangi. FOTO Shazreen Zamzuri
Ayusliza Azizan


Shah Alam: “Saya tak sangka dua kucing jenis bengal yang dibeli dua bulan lalu menang dalam kategori Best Kitten dan Best Reserve in show dalam pertandingan ini,” kata Faza Fayza Mohd Fawzy, 32.

Faza Fayza peserta Pertandingan Kucing Bengal itu berkata, dua kucing bengal berkenaan dibeli pada Mei dan Jun lalu selepas dia menyimpan wang selama lapan tahun.

Dia yang juga pensyarah Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Seri Iskandar, Perak itu berkata, RM22,000 dihabiskan untuk membeli haiwan peliharaan berkenaan dari Russia.

“Saya meminati kucing jenis bengal ini pada 2010 dan sejak itu mula mengumpul wang dan akhirnya impian itu tercapai dan bersyukur mendapat sokongan daripada keluarga dan suami.

“Menarik mengenai kucing bengal ini mereka sangat aktif dan memiliki bentuk badan yang cantik serta corak unik,” katanya yang mempunyai kucing jantan serta betina bernama King Carera dan Beauty Charmeela.

Selain itu, Faza Fayza berkata, dia suka kucing bengal yang nampak liar, tetapi sebenarnya sangat manja.

Katanya, dia membelanjakan RM800 sebulan untuk kucing itu dan ketika ini masih mengumpul ilmu mengenai cara penjagaan serta karakter haiwan itu.

Empat kategori lain yang dipertandingkan iaitu ‘Best Male’ dimenangi Fadli Abdul Rashad pemilik kucing bengal bernama Katniss Abang Bentara manakala Best Female dan Best Junior diungguli Nashary Mohd Ravi (Nusantara Bengal Sensual Seduction dan Nusantara Bengal Wicked Kamara) serta ‘Best Alter’ dimenangi Nor Rianie Md Tahar (Tok Bali Bengal Robert).

Kucing jenis bengal yang dipertandingkan dinilai mengikut muka, corak dan karakter.

Pertandingan kali pertama di negara ini itu diadili juri dari Australia, Amerika Syarikat dan Malaysia.

Sementara itu, Presiden Kelab Bengal Malaysia yang juga penganjur pertandingan itu, Nashary Mohd Ravi berkata, walaupun kali pertama menganjurkan pertandingan itu, sambutan diterima sangat menggalakkan apabila 62 kucing jenis bengal menyertainya.

Beliau berkata, selain bertanding pemilik kucing itu dapat bertukar pandangan serta menimba ilmu baru.

“Kita lihat hari ini (semalam) ramai peminat kucing jenis bengal dan pertandingan ini juga bertujuan menambah jumlah ahli kelab yang ditubuhkan tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 7:55 AM