Lizam Ridzuan


SEMPENA Boom Festival Roda-Roda Klang 2023 baru-baru ini diadakan himpunan Santai RX-Z Malaysia 2023.

Ia dihadiri lebih 1,000 pemilik jentera ikonik Yamaha RX-Z yang popular sekitar 80-90an dahulu.

Penganjur acara Muhammad Faiz Safwan Affendi, 25, berkata, ia pertama kali dianjurkan bagi menghimpun pemilik dari serata negara untuk datang ke acara ini.

"Sebagai peminat RX-Z, ini acara terbesar pernah kami adakan dan selain berkumpul turut diadakan pertandingan RX-Z kategori Ori Moto dan Open," katanya.

Menurutnya, acara dianjur bagi mengeratkan lagi silaturahim individu yang berkongsi minat yang sama, selain dapat bertukar pandangan.

Mereka merancang mengadakan acara ini sebagai acara tahunan dengan gabungan seluruh kelab-kelab RX-Z di Malaysia.

PERTANDINGAN Kategori Open.
PERTANDINGAN Kategori Open.

Peserta Shahrazi Sari, 36, berkata, dia memiliki motosikal RX-Z ini ketika berusia 18 tahun yang dibeli pada harga RM3,000.

"Saya meminati jentera ini kerana bentuknya yang mantap selain melengkapinya dengan alatan ganti tulen dan itu yang membuatkan harganya semakin meningkat.

"Meskipun ramai menawarkan harga menarik kepada saya namun tidak akan menjualnya kerana ia ada nilai sentimental yang sangat tinggi," katanya.

Peserta Nurul Nadia Shaharuddin, 24, berkata, dia meminati jentera dua roda RX-Z ini seiring minat suaminya yang berkongsi perkara yang sama.

"Mulanya hanya mengikut berkonvoi dengan RX-Z dan lama kelamaan timbul perasaan ingin menunggangnya sendiri lalu membeli sebuah pada harga RM15,000.

"Kami pernah berkonvoi ke Melaka bersama dan sebagai peminat jentera dua roda ia memberi kami kepuasan tersendiri," katanya.

PEMILIK wanita hadir bagi sokongan.
PEMILIK wanita hadir bagi sokongan.

Yamaha RX-Z diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan pada 1985 dan menjadi pilihan ramai peminat motosikal di negara ini meskipun pengeluarannya tamat pada 2011.

RX-Z dilengkapi enjin dua lejang dengan kapasiti enjin asal 135cc, tetapi kemudian dinaik taraf kepada 150cc.

Jentera ini juga dilengkapi sistem brek cakera hadapan dan belakang selain rekaanya gaya sporty.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 6:06 AM
PEMILIK RX-Z dari serata negara berkumpul.
PEMILIK RX-Z dari serata negara berkumpul.