HONDA BR-V kekal selesa seisi keluarga
HONDA BR-V kekal selesa seisi keluarga
Lizam Ridzuan

MENYERLAHKAN gaya crossover, Honda Bold Runabout Vehicle (BR-V) kini diperkenalkan dengan kemasan terbaharu bagi keperluan perjalanan dan kehidupan sesuai untuk seisi keluarga.

Sejak dilancarkan pada 2017, model tujuh tempat duduk ini juga dianggap satu revolusi untuk segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) di negara ini.

Ia menawarkan gaya dan ciri praktikal seterusnya mendapat sambutan menggalakkan di pasaran.

Antara yang diperkenalkan pada BR-V ialah gril hadapan baharu dengan konsep 'Active-Solid-Motion', bampar dengan kemasan rendah, lampu kabus dan rim aloi 16 inci dwiwarna.

Selain itu antena jerung dan rekaan bampar belakang baharu menyerlahkan keseluruhan rekaan untuk tampil lebih mantap dan ranggi.

Ia juga menawarkan penggunaan bahan api yang efisien dengan enjin 1.5L SOHC i-VTEC dipadankan dengan Transmisi Boleh Ubah Berterusan (CVT) yang menjana kuasa 120PS, ia juga adalah yang tertinggi dalam kelasnya.

KEMASAN merah menghiasi ruang dalaman.
KEMASAN merah menghiasi ruang dalaman.

Untuk memberi sentuhan gaya pemanduan prestasi, ia dilengkapi 'paddle shift' pada roda stereng untuk pengalaman lebih menyeronokkan untuk varian V.

Model ini turut dilengkapi paparan audio tujuh inci, sistem pembesar suara dengan Tweeter, pancahayaan ruang kargo dan penapis kabin untuk keselesaan tambahan.

Sesuai dengan peranannya sebagai mobiliti keluarga, BR-V mempunyai ruang dalaman yang luas dan versatil melalui tempat duduk 60:40 pada baris kedua dengan butang Touch Tilt & Tumble serta 50:50 pada baris ketiga,

Ia mempunyai ruang kargo daripada 223 liter sehingga 539 liter mengikut keperluan apabila baris ketiga direbahkan bagi muatan yang lebih luas.

BARIS tempat duduk ketiga selesa untuk dewasa.
BARIS tempat duduk ketiga selesa untuk dewasa.

Tempat duduk kulit baharu juga diperkenalkan dengan kemasan merah yang sepadan dengan ciri tuil gear serta penyaman udara automatik, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin yang juga ciri standard untuk varian E.

Warna ditawarkan ialah ungu (Marine Purple Pearl), putih (White Orchid Pearl), kelabu (Modern Steel Metallic), perak (Lunar Silver Metallic) dan merah (Passion Red Pearl).

Untuk pasaran Malaysia, BR-V dijual pada harga RM89,900 (E) dan RM96,900 (V) (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Melalui kempen 'Be Kind With BR-V' daripada 2 Jun hingga 31 Ogos 2020, sejumlah hasil bagi setiap BR-V baharu dijual akan didermakan untuk program bantuan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 7:00 AM