Lizam Ridzuan


Jenama kenderaan dari Korea Selatan sememangnya mempunyai peminat tersendiri buat yang mahukan sesuatu yang berbeza terutama daripada segi reka bentuk, gaya dan teknologi.

Meskipun sering dibayangi jenama dari Jepun, sekali-sekali tidak salah bertukar angin dan mendekati jenama yang popular dari negara yang terkenal dengan budaya K-Pop ini.

Vroom minggu ini berpeluang memandu uji Hyundai Kona 2021 Baharu iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak yang diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2020.

HYUNDAI Kona 2021, tawar SUV kompak gaya ranggi.
HYUNDAI Kona 2021, tawar SUV kompak gaya ranggi.

Untuk kepelbagaian pilihan, pada April lalu, ia ditawarkan dengan model peningkatan (facelift) serta menambah pilihan daripada dua kepada empat varian.

Hyundai Kona kini ditawarkan dengan varian 2.0, 2.0 Active (unit pandu uji ini), 1.6 Turbo dan 1.6 Turbo N Line. Ia mula ditawarkan sejak Julai lalu.

Ia dibezakan dengan kemasan luaran dan dalaman serta enjin Smartstream G2.0 Atkinson dan G1.6 liter T-GDi.

SUV kompak ranggi.
SUV kompak ranggi.

Melihat kepada reka bentuk luarannya, varian 2.0 Active ini menyerlah dengan bentuk crossover gaya terkini terutama pada bahagian bampar hadapan yang tampil sporty melalui gabungan lapisan aluminum.

Ia juga datang dengan lampu hadapan dwi LED untuk pancaran tinggi dan rendah selain lampu belakang yang cukup futuristik.

Padanan rim aloi 18 inci dengan tayar 235/45, dapra sisi 'wheel arch' serta rel bumbung menyerlahkan gaya keseluruhan SUV ini.

KEMASAN gril hadapan dan lampu LED baharu.
KEMASAN gril hadapan dan lampu LED baharu.

Paling mencuri tumpuan ialah warnanya yang diberi nama 'Dive in Jeju'. Ia tampil unik dan berbeza dalam kebanyakan warna yang ditawarkan menjadikan Kona ini menjadi tumpuan.

Menjengah ke bahagian dalaman, untuk pilihan warna luaran Dive in Jeju atau Hitam Dark Knight, ia didatangkan dengan kerusi kulit warna 'Light Beige'.

Papan pemuka gelap datang dengan sistem infotainmen LCD bersaiz 8 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk pemandu, tersedia kluster meter digital penuh bersaiz 10.25 inci dengan paparan Head-Up Display (HUD).

RUANG kabin dengan Light Beige.
RUANG kabin dengan Light Beige.

Pada konsol tengah, ia dilengkapi brek parkir elektronik dengan 'Auto Hold' selain penyaman udara satu zon kawalan suhu automatik penuh.

Kerusi pemandu pula datang dengan lapan larasan ketetapan elektrik serta sokongan lumbar dan untuk penumpang dengan larasan manual.

Untuk penumpang belakang, dengan nisbah jatuhan 60:40, membolehkan ia menjadi lebih praktikal jika membawa tambahan muatan yang lebih pada kapasiti but 361 liter.

Turut disediakan ialah tiga pengecas USB (satu untuk keterhubungan), sistem enam pembesar suara, roda stereng balutan kulit dengan fungsi pembesar suara dan pelayaran.

ENJIN Smartstream G2.0 Atkinson.
ENJIN Smartstream G2.0 Atkinson.

Untuk pemanduan, SUV kompak ini dibekalkan dengan enjin Smartstream G2.0 Atkinson 1,999cc.

Ia menjana kuasa 149PS pada 6,200rpm dan tork 180Nm pada 4,500 rpm.

Ia dipacu dengan transmisi lapan kelajuan Smartstream IVT pacuan roda hadapan.

Ia juga datang dengan empat mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport dan Smart dengan tiga mod cengkaman untuk permukaan salji, lumpur serta pasir.

KERUSI penumpang dengan ciri fleksibel.
KERUSI penumpang dengan ciri fleksibel.

Saiznya yang kompak dengan kuasa yang mantap menjana tenaga responsif malah ia boleh disesuaikan mengikut corak dan gaya pemanduan.

Penulis yang memandu pada pelbagai kelajuan dapat merasakan tukaran gear lancar sama ada ketika memecut selain pengendalian lebih baik terutama ketika melewati selekoh.

Sistem suspensi hadapan MacPherson Strut dan dwi-Torsion Beam pada belakang bukan sahaja cukup mantap untuk pengendalian malah penumpang turut rasa selesa.

Ia juga dilengkapi sistem keselamatan terbaik. Antaranya menerusi kekukuhan kerangka, enam beg keselamatan selain Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

BUT 374 liter.
BUT 374 liter.

Secara keseluruhan, Hyndai Kona adalah SUV kompak dengan ciri teknologi, prestasi dan pengendalian yang mantap serta kemasan juga rekaan futuristik.

Ciri ruang dalamannya pula premium dengan konsep fleksibel, sesuai untuk gaya hidup urban atau aktiviti aktif pada hujung minggu.

Menerusi sistem kunci pintar, enjin boleh dihidupkan melalui kunci kawalan jauh.

Penggunaan bahan api juga efisyen dengan satu isian penuh 50 liter mampu menjangkau perjalanan sehingga 500 kilometer (km), namun bergantung kepada gaya pemanduan, muatan dan permukaan jalan.

Untuk pasaran Malaysia, Hyundai Kona Active dijual pada harga RM136,888 dengan lima tahun jaminan pengeluar atau 300,000km, yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 6:30 AM