HM Digital

KENDERAAN elektrik (EV) bakal menjadi pilihan pengeluar kenderaan pada masa depan sebagai laras kemajuan teknologi mobiliti global.

Tidak terkecuali, jenama premium Porsche yang memperkenalkan model Taycan pada September 2019.

Ia model elektrik pertama jenama itu dalam menawarkan pilihan jentera berprestasi tinggi mereka.

Memasuki pasaran tempatan pada September 2020, ia adalah model kereta sport sedan empat pintu yang menggabungkan ciri prestasi, teknologi termaju dan elemen praktikal bagi kegunaan seharian.

Vroom berpeluang memandu Taycan apabila diundang Sime Darby Auto Performance (SDAP), yang juga pengedar utama kenderaan jenama Porsche di Malaysia untuk sesi 'Taycan Experience Malaysia 2021' di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), baru-baru ini.

Ia diadakan dalam suasana norma baharu dengan jumlah wakil media dihadkan kepada beberapa kumpulan kecil dan datang pada hari yang berlainan.

Selepas sesi taklimat, penulis dan rakan media lain dibawa ke sesi pertama untuk aktiviti pecutan daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) menerusi dua varian disediakan iaitu Taycan 4S dan Taycan Turbo.

Kedua-dua model ini berbeza daripada segi kuasa dan tork serta tenaga elektrik yang dialirkan menerusi pacuan empat roda (4WD).

Sebaik diberi tunjuk ajar ketetapan dan larasan oleh pemandu profesional yang duduk di sebelah, penulis memulakan sesi dengan Taycan 4S.

Peluncuran menggunakan mod Sport Plus dengan menekan pedal yang dilengkapi Overboost Power bersama Launch Control.

JENTERA elektrik pertama keluaran Porsche.
JENTERA elektrik pertama keluaran Porsche.

UJIAN pecutan 0 ke 100km/j.
UJIAN pecutan 0 ke 100km/j.

Ia menjana kuasa 530PS dan tork 640Nm. Semua model dilengkapi transmisi automatik dua kelajuan.

Ia memecut dengan pantas dengan catatan masa sekitar empat hingga lima saat.

Ia satu pengalaman baharu dan nyata berbeza dengan penggunaan enjin bahan api apabila Taycan mengalirkan terus tenaganya tanpa sebarang kelewatan.

Kemudian penulis memandu Taycan Turbo yang turut dilengkapi Overboost Power dengan Launch Control.

Ia menghamburkan kuasa 680PS serta tork 850Nm dengan catatan sekitar tiga hingga empat saat sahaja untuk sifar ke 100km/j.

Kekuatan tork membuatkan penulisterasa 'G-Force' yang kuat seakan-akan jantung 'tertinggal' di belakang sebaik pedal dan pecutan dilakukan.

Taycan Turbo dan Taycan Turbo S dibina melalui teknologi termaju Porsche E-Performance dan antara paling berkuasa dihasilkan oleh mereka ketika ini dalam barisan kenderaan jenama Porsche terutama Turbo S yang memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 2.8 saat, ia menyamai tenaga jentera Formula E, Porsche 99X.

Taycan 4S dijana kuasa bateri elektrik sekitar 79.2 KWh dan Taycan Turbo pula dengan 93.4kWh dan terdapat perbezaan prestasi ketika menguji kedua-dua model ini, yang pasti Taycan Turbo memacu lebih kuasa.

Keupayaan membrek juga diuji sebaik melepasi garisan 100 meter dan sebagai model yang diinspirasikan daripada jentera perlumbaan, prestasi memberhentikannya juga pada tahap terbaik dengan 'Porsche Surface Coated Brake' (PSCB) yang menggabungkan brek cakera bersama lapisan seramik.

RODA stereng dengan butang fungsi dan mod pemanduan.
RODA stereng dengan butang fungsi dan mod pemanduan.

KONSOL tengah dengan skrin sesentuh.
KONSOL tengah dengan skrin sesentuh.

KERUSI penumpang belakang untuk varian Turbo S.
KERUSI penumpang belakang untuk varian Turbo S.

Untuk varian tertinggi Turbo S, ia dilengkapi 'Porsche Ceramic Composite Brake '(PCCB). Ia adalah teknologi sukan permotoran yang diterjemahkan untuk kegunaan jalanan dan memberi kelebihan jarak membrek dengan lebih pendek.

Menerusi 'Porsche Recuperation Management' (PRM), selain membrek, ia turut membantu menukarkan proses itu menjadi tenaga kinetik elektrik membantu tambahan kuasa yang berterusan.

Selepas sesi itu, kami dibawa ke sesi teknikal 'E-architecture workshop' untuk mengenali dengan lebih dekat apa yang terdapat di bawah bonetnya untuk mengetahui teknologi trenkuasa motor elektrik, sistem suspensi dan komponen bateri pada model Taycan ini.

Kami kemudian memandu uji Taycan 4S dan Taycan Turbo di dalam litar dengan kelajuan serta pengendalian sendiri.

Selekoh dan laluan lurus diuji sepenuhnya. Kuasa dan pengendaliannya cukup mantap.

Ia hasil fungsi suspensi udara adiptif, Pengurusan Suspensi Aktif Porsche (PASM), stereng gandar-belakang, 'Porsche Dynamic Chasis Control Sport' (PDCC Sport), 'Porsche Torque Vectoring Plus' (PTV Plus) dan Kawalan Casis 4D bagi keseimbangan kuasa elektronik dalam pelbagai situasi pemanduan.

Secara keseluruhan, aktiviti ini memberi peluang kepada media memahami lebih dekat teknologi dan kelebihan yang ditawarkan oleh Porsche.

Kenderaan elektrik yang sering digambarkan mudah kehilangan kuasa baterinya jika memandu pada kelajuan tinggi kini sudah berada pada tahap yang lain selepas pengeluaran model Taycan ini.

Menerusi pengalaman penulis, ia bukan sahaja menawarkan prestasi gaya pemanduan warisan Porsche malah dengan ciri teknologi masa depan dengan keupayaan bateri mampu mencapai jarak perbatuan sehingga 450km (Taycan Turbo).

Melalui penyediaan pusat-pusat pengecasan di sepanjang lebuh raya dari utara ke selatan kelak, ia membolehkan model ini bergerak dari Singapura ke Pulau Pinang dan Bukit Kayu Hitam.

TRENKUASA Taycan.
TRENKUASA Taycan.

Meskipun elektrik, untuk tujuan keselamatan, model Taycan ini tidak bergerak senyap dan ia didatangkan dengan 'Porsche Electric Sport Sound' sebagai ciri standard akustik kepada pemanduan dinamik.

Untuk kuasa, ia didatangkan dengan aliran 800 voltan memberikan kelebihan pengecasan lebih pantas dalam tempoh 36 minit menggunakan kapasiti 175 kW aliran terus (DC) daripada rangkaian pengecasan berkuasa tinggi membolehkan jarak perbatuan sehingga 400km dicapai.

Rekaan luaran kekal DNA Porsche dengan model Taycan Turbo S dan Taycan Turbo dilengkapi lampu hadapan LED Matrix serta Sistem Pencahayaan Dinamik Porsche Plus (PDLS Plus), dan untuk model Taycan 4S, dengan lampu utama LED.

Ruang dalaman dengan papan pemuka inspirasi model 911 tahun 1963 dengan kluster meter bersaiz 16.9 inci dan sistem infotainmen bersaiz 10.9 inci dengan Pengurusan Komunikasi Porsche (PCM).

Roda sterengnya pula cukup sporty dengan butang fungsi dan mod pemanduan.

Pada konsol tengah, ia dilengkapi 'Direct Touch Control' untuk larasan penyaman udara serta fungsi-fungsi lain.

But pula seluas 446 liter dan bertambah kepada 1,212 liter jika kerusi penumpang belakang direbahkan.

INFO

Fakta ringkas varian Porsche Taycan:

Taycan

Kuasa: 408PS (Overboost Power dan Launch Control)

Tork: 345Nm

Sifar ke 100km/j: 5.4 saat

Kelajuan maksimum: 230km/j

Harga: Daripada RM584,561

Taycan 4S

Kuasa: 530PS (Overboost Power dan Launch Control)

Tork: 640Nm

Sifar ke 100km/j: 4 saat

Kelajuan maksimum: 250km/j

Harga: Daripada RM699,986

Taycan Turbo

Kuasa: 680PS (Overboost Power dan Launch Control)

Tork: 850Nm

Sifar ke 100km/j: 3.2 saat

Kelajuan maksimum: 260km/j

Harga: Daripada RM963,297

Taycan Turbo S

Kuasa: 761PS (Overboost Power dan Launch Control)

Tork: 1,050Nm

Sifar ke 100km/j: 2.8 saat

Kelajuan maksimum: 260km/j

Harga: Daripada RM1.151 juta

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 7:01 AM