X
PORSCHE Taycan baharu.
PORSCHE Taycan baharu.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


SEBELUM ini, dilema untuk pemilik kenderaan elektrik ialah sama ada mahu prestasi atau jarak.

Jika memilih kelajuan, maka jarak perbatuan akan berkurangan. Begitu juga sebaliknya.

Ini kerana kuasa bateri penuh tidak mampu menjangkau jarak yang jauh selain faktor masa mengecas menjadi antara sebab ia tidak begitu mesra pengguna.

Namun, itu semua sudah berubah dengan pengenalan pelbagai model lebih maju.

Antaranya jentera sport prestasi Porsche Taycan dengan janaan elektrik penuh yang sudah pun memasuki pasaran tempatan tahun lalu.

Tiga varian ditawarkan iaitu Taycan 4S, Taycan Turbo dan Taycan Turbo S pada harga bermula daripada RM699,986, RM963,297 dan RM1.15 juta.

Untuk lebih pilihan dan penawaran pada faktor harga lebih menarik, Porsche Malaysia memperkenalkan satu lagi varian pada awal tahun ini iaitu Taycan sebagai model permulaan segmen elektrik jenama ini.

DNA rekaan terserlah.
DNA rekaan terserlah.

Ia dijual pada harga bermula RM605,000 dan bersempena pengecualian cukai jualan (SST) sehingga 30 Jun ini, Porsche Taycan dijual pada harga RM584,561 dan RM622,275 (Bateri Prestasi Plus) yang akan mula tersedia pada suku kedua tahun ini.

Model pacuan roda belakang ini mampu menjana kuasa 408 PS dengan pilihan mod 'Launch Control' dan tambahan menjadi 476 PS dengan pilihan Bateri Prestasi Plus.

KABIN dengan ciri terkini.
KABIN dengan ciri terkini.

Kuasa nominal Taycan ini ialah 326 PS atau 380 PS.

Antara ciri terbaharu lain ialah dengan dek tunggal Bateri Prestasi berkapasiti asas 79.2kWH adalah sebagai ciri standard.

Ia juga ditawarkan dengan dua dek Bateri Prestasi Plus sebagai pilihan yang menawarkan 93.4KWh yang menambah jarak perbatuan daripada 431 kilometer (km) kepada 484km.

Sebagai model elektrik, Taycan mampu memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 5.4 saat, bergantung kepada kapasiti

kuasa bateri dan kelajuan maksimum mencapai 230 km/j dalam dua-dua konfigurasi kapasiti bateri berkenaan.

Untuk pengecasan, daripada lima ke 80 peratus SoC, ia hanya mengambil masa 22.5 minit dan untuk 100km, ia cuma mengambil tempoh pengecasan selama lima minit.

Kuasa maksimum pengecasan sehingga 270kW.

Meskipun sebagai model permulaan, Taycan tetap dengan daya pecutan yang menakjubkan dan kuasa yang sentiasa berterusan dialirkan adalah ciri yang ditawarkan pada semua model ini.

PENGECAS elektrik maksimum sehingga 270kW.
PENGECAS elektrik maksimum sehingga 270kW.

Untuk rekaan luaran, ia mengekalkan DNA jenama Porsche terutama daripada arah hadapan dengan rekaan yang lebar dan rendah serta garis kontur jelas.

Bayangan pada bentuk lebih menyerlah menerusi bahagian bumbung ke belakang dan pada bahagian sisi dengan karakter tersendiri.

Sebagai model prestasi, ia dipadankan dengan rim aloi Taycan Aero 19 inci dan angkup brek hitam, 'apron' hadapan, alas sisi dan 'diffuser' belakang sentuhan hitam seperti yang terdapat pada Taycan 4S.

Bahagian kabin yang dibangunkan dengan rekaan terkini sejak 2019 dilengkapi kluster meter bentuk melengkung, sistem infotainmen bersaiz 10.9 inci dan pilihan paparan untuk penumpang hadapan.

Terdapat dua ruang simpanan beg disediakan untuk model ini dengan 84 liter pada hadapan dan 407 liter pada bahagian but.

Untuk rekod, lebih 20,000 Porsche Taycan sudah diserahkan kepada pembeli di seluruh dunia sepanjang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 7:00 AM