TAYCAN model kenderaan elektrik pertama Porsche.
TAYCAN model kenderaan elektrik pertama Porsche.
Lizam Ridzuan

JENAMA pengeluar kenderaan Kia dari Korea Selatan dan jentera prestasi Porsche mendominasi Anugerah Kereta Terbaik Dunia 2020 (WCA) yang diumumkan baru-baru ini di Toronto, Kanada.

Pengumuman keputusan anugerah kali ke-16 itu hanya dilakukan secara dalam talian yang sepatutnya diadakan di Pameran Auto New York 2020, namun ditangguhkan akibat penularan Covid-19.

Proses penilaian dimulakan sejak September tahun lalu di Pameran Motor Frankfurt.

Sesi pandu uji pula diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada November dan senarai akhir kenderaan yang layak diadakan di New Delhi, India pada Mac 2020.

Melihat kepada pilihan juri tahun ini, ia terarah kepada kenderaan elektrik dengan ciri dan teknologi termaju sebagai penyediaan mobiliti masa depan.

Vroom kali ini memaparkan model yang mengungguli kategori masing-masing dalam lima anugerah yang dipertandingkan.

ANUGERAH KERETA TERBAIK 2020

Model Kia Telluride iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) tiga baris tempat duduk dipilih sebagai Kereta Terbaik Dunia Tahun 2020 keseluruhan daripada keputusan 86 panel juri serata dunia.

Dipasarkan di Amerika Syarikat dan Kanada, ia dikuasakan dengan enjin 3.8 liter V6 DOHC D-CVVT petrol menyajikan kuasa kuda 291hp dan tork 350Nm serta lapan kelajuan automatik.

SUV bersaiz penuh dengan enjin 3.8 liter.
SUV bersaiz penuh dengan enjin 3.8 liter.

RUANG kokpit Taycan ciri termaju.
RUANG kokpit Taycan ciri termaju.

Bersaiz 5,000 milimeter (mm) panjang, 1,990 mm lebar dan 1,750 mm tinggi dengan kapasiti tujuh hingga lapan penumpang (bergantung varian), ia juga dipadankan dengan ciri keselamatan terbaik.

Telluride didatangkan dengan empat mod pemanduan iaitu Comfort, Eco, Sport, dan Smart.

Ia menggunakan pacuan roda hadapan (FWD) yang juga dilengkapi sistem Pacuan Semua Roda (AWD) 'Active On-Demand' malah kunci AWD dan mod salji turut disediakan.

Antara calon akhir untuk kategori ini ialah Mazda CX-30 dan Mazda3.

KERETA PRESTASI DAN MEWAH TERBAIK

Model Porsche Taycan yang juga kenderaan elektrik pertama jenama itu dipilih sebagai pemenang untuk dua kategori iaitu Kereta Prestasi Terbaik Dunia dan Kereta Mewah Terbaik Dunia Tahun 2020.

Model ini yang diperkenalkan ke pasaran pada 2019 melalui dua varian iaitu Taycan Turbo S dan Turbo mampu menjana kuasa kuda 761PS dan 680PS serta sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 2.8 dan 3.2 saat dengan 'Porcshe E-Performance'.

Melalui kuasa elektrik 800 voltan, Taycan mampu menjangkau perjalanan sejauh 450km dengan sekali pengecasan dan kelajuan maksimum mencecah 260km/j.

Antara calon akhir untuk kategori Prestasi Terbaik ialah Porsche 718 Spyder/Cayman GT4 dan Porsche 911.

Untuk calon akhir kategori Mewah Terbaik ialah Mercedes-Benz EQC dan Porsche 911.

KERETA URBAN TERBAIK DUNIA

Sebuah lagi model daripada Kia iaitu Soul EV dipilih sebagai Kereta Urban Terbaik Dunia 2020 dengan menampilkan jarak perbatuan yang menakjubkan buat kenderaan elektrik (EV) crossover ini.

Soul EV diperkenalkan pada 2014 dan model ini adalah daripada generasi kedua 2020 dengan peningkatan 64 kWh bateri.

Ia mampu menjangkau perjalanan sejauh 391km dengan sekali pengecasan.

Trenkuasa elektrik memberikan ia kuasa kuda 201hp dan pecutan responsif pada tork 395Nm terutama pengalaman pemanduan dalam bandar, dengan ciri roda stereng dilengkapi pedal boleh laras untuk tahap brek janaan semula kuasa bateri yang menawarkan opsyen pemanduan satu pedal.

Ia juga boleh memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 7.6 saat.

Dipasarkan di Amerika Syarikat dan Eropah, bagi memudahkan pemanduan, ia dilengkapi sistem pengubah transmisi secara putaran untuk pemanduan, undur dan parkir.

Antara calon akhir untuk kategori ini ialah Mini Electric dan Volkswagen T-Cross.

MAZDA3 Liftback.
MAZDA3 Liftback.

REKAAN KERETA TERBAIK DUNIA

Seterusnya Mazda3 2020 dipilih sebagai Rekaan Kereta Terbaik Dunia 2020 untuk dua variannya iaitu sedan dan liftback (hatchback).

Ia menyerlahkan konsep Kodo yang menjadi asas rekaan pengeluar kenderaan Jepun itu.

Kesenian estetika negara matahari terbit itu yang mengetengahkan gaya 'less is more' menghasilkan cahaya bergelombang halus untuk ekspresi bentuk yang sama meskipun keperibadian berbeza iaitu sedan untuk elegan dan liftback melambangkan ciri penuh emosi.

Model ini dipasarkan di Malaysia dengan lima varian serta dua pilihan enjin 1.5 liter dan 2.0 liter Skyactiv-G.

Antara calon akhir untuk kategori ini ialah Peugeot 208 dan Porsche Taycan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 7:00 AM