KENDERAAN emisi sifar.
KENDERAAN emisi sifar.
Lizam Ridzuan

Bagi meluaskan penggunaan dan kemudahan kepada pemilik, Porsche Asia Pasifik dan Shell mengumumkan untuk melaksanakan pemasangan pengecasan prestasi tinggi (HPC) merentasi sempadan.

Ia membabitkan 12 pusat pengecasan di sepanjang lebuh raya utara selatan bagi melancarkan perjalanan dari Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang terutama membabitkan kenderaan elektrik (EV).

Melalui kerjasama ini juga, enam stesen Shell akan dilengkapi pengecas aliran terus (DC) yang didatangkan dengan dua jenis sambungan pengecas 'CCS Type 2' membolehkan sebuah kenderaan mampu dicas sehingga 180kW atau dua kenderaan dalam satu masa.

Ia akan dibina secara berperingkat dan empat stesen bakal siap selepas pertengahan tahun ini dan bakinya pada suku pertama 2022.

Lokasi ini juga bersepadu dengan rangkaian pengecasan Shell yang merangkumi '18 Shell Recharge' menerusi pengecasan pantas 50kW dan 87 'Greenlots' awam yang terdapat di Singapura.

Naib Presiden Rantau Luar Negara dan Pasaran Baharu Porsche AG, Matthias Becker berkata, pasaran Asean mempunyai potensi yang kuat untuk mereka terokai peluang mobiliti elektrik di rantau ini.

KERJASAMA bersama Shell dengan Porsche.
KERJASAMA bersama Shell dengan Porsche.

"Projek HPC ini akan menjadi contoh kepada negara lain bagi melaksanakan inisiatif sama," katanya.

Sistem pengecasan berprestasi tinggi 175kW sedia ada di pusat jualan Porsche di Malaysia selain di rangkaian hotel, lapangan terbang, kelab riadah dan gaya hidup terpilih di serata negara juga melengkapi rangkaian ini.

Kemudahan yang disediakan disasarkan kepada pemilik Porsche Taycan yang juga kenderaan elektrik (EV) pertama jenama itu.

Ia membolehkan Taycan dicas dengan kapasiti penuh daripada sifar ke 80 peratus dalam tempoh 30 minit dan bergerak sejauh 350 kilometer (km).

Malah Shell turut menawarkan faedah tambahan untuk pengguna Porsche seperti menempah tempat HPC di Malaysia terlebih dahulu menggunakan aplikasi mudah alih serta harga istimewa untuk makanan dan minuman di kedai Shell Select terpilih.

TAYCAN model EV pertama daripada Porshce.
TAYCAN model EV pertama daripada Porshce.

Pengarah Urusan Kluster, Mobiliti Malaysia dan Singapura, Shell, Shairan Huzani Hussain berkata, syarikat sudah melabur dalam pembinaan pengecas EV bagi keperluan pelanggan sebagai inisiatif dalam penyelesaian sumber tenaga bersih.

"Pada 2019, kami memperkenalkan pengecas EV di Singapura dan pada 2020, kami perkenalkan stesen yang dijana tenaga solar di Malaysia.

"Kini pengguna EV boleh merentas sempadan dan merasai pengalaman Shell Recharge selain menyegarkan diri mereka dengan minuman dan makanan di stesen kami," katanya.

Shell juga merancang menyediakan 500,000 ribu stesen mereka di seluruh dunia dengan pengecas EV pada 2025 dan kerjasama bersama Porsche adalah inisiatif transformasi dan strategi ke arah tenaga emisi sifar serta penawaran pilihan pengecasan di pelbagai lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 6:55 AM