TAYCAN Cross Turismo.
TAYCAN Cross Turismo.
Lizam Ridzuan


SELEPAS pengenalan rangkaian barisan model salun sport Taycan yang juga kenderaan elektrik (EV) pertama untuk Porsche kini ditawarkan pula varian Kenderaan Utiliti Cross (CUV) menerusi Taycan Cross Turismo.

Ia dijana elektrik sepenuhnya dengan teknologi pengecasan pantas 800 voltan yang datang dengan ruang yang lebih fleksibel dan praktikal.

Kenderaan pacuan semua roda dengan casis berteknologi tinggi ini sesuai buat mereka yang lasak dan aktif.

Ia dilengkapi suspensi udara adaptif mod Gravel baharu membolehkan ia menempuhi jalan raya atau tidak berturap dengan baik.

Jarak kelegaan jalan Taycan Cross Turismo juga 20 milimeter (mm) lebih tinggi berbanding model Taycan lain dan menerusi pilihan pakej off-road design, ia boleh ditingkatkan sehingga 30mm.

Pelindung aluminium khusus pada hadapan, sisi selain bampar hadapan dan belakang membantu melindungi kerangka kenderaan daripada terkena batu.

 CIRI kenderaan CUV elektrik.
CIRI kenderaan CUV elektrik.

Ruang kabin juga fleksibel malah kapasiti ruang simpanan boleh ditingkatkan sehingga 1,200 liter jika kerusi belakang direbahkan.

Pintu kargo bukaan luas juga memudahkan kemasukan dan mengeluarkan barangan.

Tiga varian ditawarkan iaitu Taycan 4 Cross Turismo. Ia datang dengan kuasa 380 PS sehingga 476 PS (kuasa overboost Launch Control).

Ia boleh memecut daripada 0 sehingga 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 5.1 saat selain kelajuan maksimum 220 km/j dan jarak perjalanan bateri elektrik 437km.

KABIN ciri teknologi tinggi.
KABIN ciri teknologi tinggi.

Untuk Taycan 4S Cross Turismo, ia dikuasakan dengan 490 PS sehingga 571 PS (kuasa overboost Launch Control), 0 ke 100 km/j dalam tempoh 4.1 saat, kelajuan maksimum 240 km/j dan jarak perjalanan bateri elektrik 436km.

RUANG belakang lebih praktikal.
RUANG belakang lebih praktikal.

Taycan Turbo Cross Turismo pula dengan kuasa 625 PS sehingga 680 PS (kuasa overboost Launch Control) boleh memecut daripada 0 ke 100 km/j dalam tempoh 3.3 saat, kelajuan maksimum 250 km/j dan jarak perjalanan bateri elektrik 425km.

Untuk pasaran Malaysia, Taycan 4 Cross Turismo dijual pada harga RM645,209, Taycan 4S Cross Turismo (RM728,727) dan Taycan Turbo Cross Turismo (RM968,928).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 7:00 AM