Lizam Ridzuan

MENAMPILKAN ciri warisan prestasi jenama Porsche selama lebih 70 tahun, model 911 Speedster serba baharu generasi ke-7 diperkenalkan ke pasaran tempatan oleh pengedarnya, Sime Darby Auto Performance (SDAP) baru-baru ini.

Rekaan luaran dengan gaya klasik kereta sport seperti generasi terdahulu, model 356 yang dihasilkan pada sekitar 1954 adalah asas kepada keseluruhan elemennya.

Pada bahagian hadapan, ia diadaptasi daripada rekaan model 911 GT3 dengan komponen ringan gentian karbon pada beberapa bahagian badan terutama pada bonet serta 'apron' bampar diambil daripada GT3.

Bagaimanapun, lapisan bawahnya adalah rekaan baharu sepenuhnya.

CIRI khas ‘double-bubble streamliners’ bergaya.
CIRI khas ‘double-bubble streamliners’ bergaya.

Paling menyerlah dan unik ialah ciri bumbung boleh dibuka dan 'double-bubble streamliners'.

Ia adalah ciri khas yang dihasilkan untuk kereta sport ini sejak 30 tahun lalu. Ia ditambah dengan rim aloi 20 inci untuk padanan yang bergaya.

Struktur bumbung jimat-berat ini menggantikan lapisan 'tonneau' yang dipasang pada model konsepnya sebelum ini.

Hanya dengan satu butang suis, bumbung itu akan dikeluarkan dan disimpan dengan mudah secara elektronik dan hanya perlu sedikit sentuhan untuk dilaras secara manual.

Ruang dalaman dengan skema warna hitam dan 'cognac' serta kemasan emas pada emblem Speedster menjadikan kombinasi ini elegan dan mewah.

Model ini juga diasaskan daripada teknologi enjin GT dengan 4.0 liter enam silinder selari 'naturally aspirated' menjana kuasa kuda 510 hp dan daya tork 470 Nm.

MENYERLAHKAN gaya roadster mewah.
MENYERLAHKAN gaya roadster mewah.

RUANG dalaman elegan dengan dua tempat duduk.
RUANG dalaman elegan dengan dua tempat duduk.

Sesuai sebagai model prestasi warisan Porsche, ia dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan manual sahaja dan mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh empat saat.

Kelajuan maksimumnya pula ialah 310 km/j.

Selari dengan ciri prestasi, ia juga dilengkapi Pengurusan Kestabilan Porsche (PSM) termasuk Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) untuk fungsi yang boleh dimatikan dalam dua peringkat melalui Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

Bagi Porsche 911 Speedster Baharu, hanya 1,948 unit dihasilkan untuk pasaran seluruh dunia menjadikan ia edisi terhad dengan setiap model mempunyai nombor siri eksklusif.

Melalui Heritage Design Package, pembeli boleh memilih nombor pilihan untuk perekat dengan kemasan perak metalik GT atau nombor 48 dan 70 yang signifikan dengan tahun kelahiran Speedster serta ulang tahun ke-70 jenama Porsche di mana model konsepnya diperkenalkan.

Untuk pasaran Malaysia ia dijual pada harga bermula RM2.7 juta dan kini dipamerkan di Pusat Porsche Sungai Besi, Kuala Lumpur.

WARISAN prestasi Porsche 911 Speedster.
WARISAN prestasi Porsche 911 Speedster.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 7:00 AM