JUBIN berwarna, pintu lipat dan jeriji besi lama mengimbau kenangan kediaman lama.
JUBIN berwarna, pintu lipat dan jeriji besi lama mengimbau kenangan kediaman lama.
Hafiz Ithnin

Zaman ketika membesar pastinya mempunyai nostalgia tersendiri. Apatah lagi terkenang suasana penuh keseronokan menjadi lakaran yang tidak mungkin dapat dipadam sampai bila-bila.

Setiap individu jika ditanya berkenaan zaman itu pasti akan bercerita suasana kediaman mereka. Daripada warna dinding, perabot sehingga pasu bunga milik ibu juga mampu diingati satu persatu.

Mana tidaknya, setiap sudut di dalam rumah juga mempunyai kisah tersendiri.

Rentetan itu, pada minggu ini Dekotaman berkesempatan mengunjungi kediaman bersandarkan ilham pemiliknya ketika membesar di Kuala Lumpur pada era 1980-an.

Melintas di hadapan pintu pagar rumah saja, pasti ada yang dapat meneka pemiliknya gemarkan rekaan kediaman lama terutama pada era 70-an atau dalam kata lain zaman retro.

Apatah lagi, jubin warna berserakan yang sukar untuk didapati pada masa kini menjadi ‘penyambut’ pandangan jika melangkah ke kediaman teres satu tingkat di Ampang Jaya, Selangor.

Pemiliknya, Syam Azree menceritakan kembali kisah bagaimana dia memiliki kediaman berkenaan yang menurutnya ibarat jatuh cinta pandang pertama!

RUANG tamu ringkas menjadi pilihan.
RUANG tamu ringkas menjadi pilihan.

“Sebelum ini, saya menyewa selang beberapa rumah yang berhadapan kediaman ini dan ketika itu tidak berapa perasan reka bentuknya unik kerana ia terletak sedikit tinggi daripada kediaman lain.

“Selepas berpindah dan terlihat papan tanda untuk dijual baru saya ‘mengintai’ dari luar dan ia sememangnya mempunyai ciri kediaman diimpikan. Persis kediaman zaman remaja saya pada era 1980-an yang kini pastinya sukar untuk ditemui,” katanya yang memiliki kediaman itu sejak lima tahun lalu.

Syam berkata, ketika dia berhasrat memiliki kediaman itu ia sebenarnya sudah ada bakal pembeli lain.

PINTU kayu lipat sememangnya mengimbau kediaman sebelum 1990.
PINTU kayu lipat sememangnya mengimbau kediaman sebelum 1990.

“Akhirnya, rezeki berpihak kepada saya apabila ia dijual sekitar RM380,000. Bagi memastikan konsep rumah ini kekal saya membelanjakan kira-kira RM40,000 bagi tujuan membaik pulih struktur dalaman yang rosak dan menambah baik sistem pendawaian elektrik.

“Dari segi pengubahsuaian, hanya 30 peratus saja daripada keseluruhan kediaman diubah dan selebihnya kekal seperti asal khususnya jubin, pintu lipat dan jeriji pintu,” katanya yang menjadikan rumah itu sebagai aset kedua.

KESELURUHAN dapur yang kemas dan ringkas.
KESELURUHAN dapur yang kemas dan ringkas.

Katanya, bahagian paling banyak menerima pengubahsuaian adalah di ruang dapur kerana ketika dibeli keadaannya teruk dan sukar untuk diperbaiki terutama pada bahagian kabinet.

Diberi kesempatan melihat isi rumah itu, ternyata melangkah masuk ke bahagian dapur mempunyai ciri unik kerana terdapat pagar kecil untuk ke bahagian itu yang mungkin satu ketika dahulu digunakan pemiliknya untuk menjadi pintu penghadang bayi.

PAGAR kecil di pintu masuk dapur yang klasik.
PAGAR kecil di pintu masuk dapur yang klasik.

Di bahagian dapur itu pula kelihatan meja pulau dan kabinet bawah yang dibina tidak ubah seperti meja batu makmal di sekolah suatu ketika dulu kerana tidak dicatkan dan dibiarkan warna kelabu simen.

Berkenaan hiasan dalamannya pula, anak kelahiran Perak ini juga lebih gemar mengadunkan seni bina kediaman asal dengan reka bentuk perabot dan jenis candelier sezaman dengannya.

CANDELIER berkonsepkan lama menghidupkan tema dan suasana kediaman.
CANDELIER berkonsepkan lama menghidupkan tema dan suasana kediaman.

Di laman rumah yang sedikit tinggi itu saja terdapat set meja taman era 60-an sekali imbas membawa kita berada dalam filem Madu Tiga ketika babak Latifah dan Hasnah melawat rumah Rohani.

Masakan tidak, kerawang pada keempat-empat kerusi laman itu sama seperti set kerusi dalam babak berkenaan dan Syam memberitahu, ia adalah kerusi milik asal ibu serta ayahnya.

 SET meja taman era 60-an sekali imbas membawa kita berada dalam filem Madu Tiga.
SET meja taman era 60-an sekali imbas membawa kita berada dalam filem Madu Tiga.

Dari sisi ruang tamu, konsep ringkas diterapkan. Namun, pastinya almari yang mempunyai elemen masyarakat Cina berwarna coklat gelap diserikan pasu lama menjadi titik fokus di ruang itu.

“Di ruang ini juga cukup sekadar satu sofa tiga tempat duduk yang dibeli sekitar 1990, meja kopi dan dua kerusi kayu.

“Selain itu, turut dilengkapi sebuah almari kecil lama yang mungkin dahulunya digunakan untuk menyimpan pinggan dan mangkuk. Kini saya jadikannya sebagai ruang menyimpan perhiasan kecil,” katanya yang memilih warna putih sebagai kanvas utama rona dinding kediaman.

BILIK mandi yang diubah suai tetap menerapkan elemen retro dan kontemporari.
BILIK mandi yang diubah suai tetap menerapkan elemen retro dan kontemporari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 12:03 PM