MODIFIKASI ekstrem untuk sebuah pikap.
MODIFIKASI ekstrem untuk sebuah pikap.
PIKAP milik May curi tumpuan ramai.
PIKAP milik May curi tumpuan ramai.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Pelbagai jenis kenderaan modifikasi secara ekstrem dapat dilihat sepanjang program VIP Car Southern 7 yang berlangsung di Hatyai, Thailand, baru-baru ini.

Sepanjang tempoh berkenaan, sebuah pikup berjaya menarik perhatian pengunjung dengan modifikasi dianggap melampaui batas atau mustahil.

Toyota Mighty 88 keluaran 1997 milik warga Thailand dikenali sebagai May 30-an, sungguh menawan bukan sahaja warna tema badan, malah fizikal jentera yang terlalu rendah sehingga mencecah jalan membuatkannya unik dan berbeza.

Keseluruhannya, kit badan jentera terutama bampar, but hadapan dan perumah lampu binaan khas diperkemas dengan kemasan krom.

Bahagian dapra sememangnya dilebarkan yang mampu memuatkan rim Lenso bersaiz 18 inci.

Tidak seperti kenderaan lain apabila kebiasaannya but belakang digunakan untuk mengangkut barangan, ia sebaliknya diguna menempatkan komponen sistem suspensi khas.

Selain itu, kadar tinggi rendah jentera dikawal butang kawalan jauh.

Masih mengekalkan enjin asal bersesaran 2,400cc, namun dinaik taraf dengan sistem turbo lengkap dengan Intercooler tambahan.

Ruangan dalaman tampil kemas dan menariknya, pintu pikap ini boleh dibuka dari arah berbeza berbanding asal.

Selain itu, sudut dalaman turut dimuatkan dengan pelbagai sistem audio berkualiti dengan dua pemain cakera utama jenama JVC dan Alpine, Power Amp Judge Audio dan sepasang woofer 12 inci berjenama ADX.

Menurut May, jentera miliknya adalah warisan keluarga yang asalnya digunakan untuk perniagaan.

Namun minat terhadap dunia permotoran dan mahu memberi kelainan menyebabkannya sanggup membelanjakan lebih RM40,000 (TB320,000) bagi menjelmakan jentera idamannya.

Tambahnya, hasil sedia ada masih tidak mencukupi dan merancang untuk menambahkan lagi pelbagai aksesori untuk sentiasa kelihatan unik.

SPESIFIKASI:

Toyota Mighty 88 binaan 1997

- Sistem suspensi udara khas

- Sport rim 18jj Lenso

- Woofer 12 inci ADX

- Power Amp Judge Audio

- Pemain cakera JVC dan Alpine

- Kit badan binaan khas

- Bampar, jejaring dan perumah lampu kemasan krom

- Bumbung suria Toyota

- Enjin Asal 2.4L

- Ekzos binaan khas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 3:59 AM