GARANG dengan pelekat memenuhi
GARANG dengan pelekat memenuhi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Kia Forte mula diperkenalkan sebuah syarikat pengeluaran di Korea Selatan pada 2010 di mana ditawarkan dua varian berbeza iaitu model empat pintu dan dua pintu (coupe).

Di negara ini, penerimaan masyarakat terhadap jenama itu memberangsangkan berikutan rupa bentuknya yang menarik dan sporty.

Modifikasi kali ini sempat ‘membelek’ Kia Forte keluaran 2011 milik Sharulnizam Awang, 35, pekerja kilang di Pulau Pinang.

Jentera yang bernadikan enjin asal bersesaran 1,600cc tampak sama dengan varian asalnya, namun jika dilihat secara dekat kenderaan itu diubah suai konsep VVIP di bahagian dalamannya.

Bagi memberi penampilan sedikit garang dan berbeza, bahagian luarannya dipadankan dengan kit badan binaan khas, selain ditampal pelekat serta digabungkan Spoiler GT.

Biarpun menggunakan enjin asal, ia tampak lebih kemas selepas diwarnakan semburan angin serta bonet hadapan dengan tema VVIP.

Ruangan kokpit jentera pula, tidak sahaja sarat dengan sistem audio malah diceriakan cat semburan daripada KF Airbrush bertema VVIP.

Tampil lebih bergaya kerusi semi bucket daripada SSCUS Euro R dipasang, manakala kerusi belakang ditanggalkan bagi menempatkan perumah audio.

Biarpun menggunakan pemain cakera asal, sistem audio ditingkatkan dengan tiga amplifier jenama Alphasonik, Element dan Prestige Mosfett yang dimuatkan pada but belakang.

Untuk bunyi yang padat dan mantap, empat subwoofer magnet berkembar Memphis 1,500 watt bersaiz 15 inci ditempatkan dalam perumah khas dibahagian dalaman jentera berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, lapan pembesar suara Mid 600 watts jenama sama bersaiz 6.5 inci ditempatkan di bahagian pintu hadapan.

Dua twiter Stellar pula dipasang pada ruangan pemanduan bagi memberikan kualiti audio lebih sempurna di mana arus elektrik itu disalurkan dengan menggunakan wayar 1/0 American Wire Gauge.

Untuk pengetahuan, percaya atau tidak sistem audio dan kuasa jentera itu dikendalikan dengan lima bateri NS70 Yokohama.

Usaha menaik taraf dengan berbelanja RM45,000 untuk proses modifikasi itu sangat berbaloi berikutan kerap menaiki podium dalam setiap pertandingan audioshow yang dipertandingkan.

INFO

UBAH SUAI:

- Kit badan binaan khas

- Pelekat badan khas

- Spoiler GT binaan khas

- Kerusi semi bucket SSCUS Euro R Vigano

- Semburan angin komponen enjin dan bonet daripada KF Airbrush

UBAH SUAI AUDIO:

- Pemain cakera OEM Kia Double Din

- Alphasonik High Power Amp dua hala (3000watt)

- Element Power Amp empat hala (800 watt)

- Prestige Mosfett Power Amp dua hala (800 watt)

- Empat Memphis Sub Woofer 15 inci

- Empat Memphis Mid Speaker 6.5 inci

- Dua twiter Stellar

- Wayar 1/0 American berkualiti tinggi

- Lima bateri Yokohama NS70

- Kos Modifikasi: RM45,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:00 AM