YAMAHA LC135 memukau.
YAMAHA LC135 memukau.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bercakap mengenai modifikasi motosikal di Malaysia, Yamaha LC antara jenama yang paling banyak diubah suai kepada konsep Autoshow.

Pelbagai reka bentuk dan gaya ditampilkan malah ada dikacukkan dengan pelbagai komponen daripada jenama motosikal lain dan hasilnya sungguh memukau.

Pilihan Vroom minggu ini menampilkan sebuah jentera dari Pulau Mutiara yang tidak asing dalam dunia autoshow motosikal.

Yamaha LC135 tahun 2012 milik Nik Rahizal Mustaffa Kamal, 26, sememangnya berbeza apabila mengenakan coverset R25 New Hibrid lengkap dengan ‘sampan’ di bawah enjin yang dibawa khas dari Indonesia.

Menariknya coverset ini mengguna pakai sepasang mata burung hantu iaitu lampu hadapan Yamaha Lagenda yang terselit pada ruang hadapan.

Selain itu, sudut pemanduan jentera juga dinaik taraf apabila pemilik menukar dan menggunakan hendal Yamaha X1R.

Lampu belakang jentera digantikan jenis LED manakala tempat duduk jentera dibina khas seolah-olah gaya superbike.

Penambahan pelbagai aksesori turut menjadikan jentera lebih bergaya seperti perehat kaki Racing Boy, perumah enjin Racing Boy, pemegang hendal Racing Boy, RPM Koso, dan sebagainya.

Seterusnya, kuasa hentian jentera menggunakan brek cakera Racing Boy manakala kestabilan menggunakan fork Trusty di hadapan manakala penyerap hentak tunggal di belakang masih menggunakan komponen asal.

Turut menyerlahkan gaya jentera apabila Rim Racing Boy dengan balutan tayar Swallow Samurai dikenakan dan lebih unik apabila tema AGV pada coverset jentera turut diabadikan pada rim terbabit melalui teknik Airbrush.

Bahagian enjin tidak banyak diubah suai berikutan jentera ini tidak dikhaskan untuk kelajuan dan antara komponen yang ditukar adalah karburator Uma Racing dan ekzos Nobi Titan.

Jentera yang selalu muncul dalam autoshow motosikal kerap kali mendapat perhatian juri dan ditanya mengenai kos, pemilik menegaskan sebanyak RM5,000 sudah dibelanjakannya.

SPESIFIKASI:

YAMAHA LC135 tahun 2012

Coverset: R25 New Hibrid

Rim: Racing Boy sp522

Tayar: Ramurai Swallow dan P Rally

Handle: Yamaha X1R

Brek: Cakera Racing Boy

Pam brek: Racing Boy

Perehat kaki: Aloi Racing Boy

Perumah enjin: Racing Boy

Fork hadapan: Trusty

Ekzos: Nobi Titan

RPM: Koso

Lampu: Yamaha Lagenda

Lampu belakang: led

Karburator: UMA Racing

Kos keseluruhan: Hampir RM5,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 5:32 AM