Baru-baru ini, guru-guru di Korea Selatan menyertai perhimpunan di hadapan Perhimpunan Kebangsaan negara itu. Mereka menyatakan kekecewaan atas layanan buruk yang diterima daripada ibu bapa dan pelajar. Ia termasuk tuduhan mendera kanak-kanak kerana tindakan mendisiplinkan pelajar. Sehubungan itu, mereka meminta perlindungan yang lebih baik untuk diri mereka.
Protes itu tercetus susulan kematian seorang guru sekolah rendah berusia 23 tahun Julai lalu. Guru itu ditemukan maut selepas dipercayai mengalami tekanan kerana diganggu oleh ibu bapa muridnya.
Menurut seorang guru yang menyertai protes itu, mereka pernah menerima panggilan lewat malam daripada ibu bapa yang menuduh guru tidak menghormati kanak-kanak. Ia kerana tindakan guru mendisiplinkan murid yang tidak mahu mengambil bahagian ketika pembelajaran di dalam kelas.
Selain itu, guru itu mendakwa ada ibu bapa yang 'menjerit' kepada mereka kerana tidak menyediakan bahan atau kelengkapan tambahan untuk pembelajaran kepada pelajar. Sedangkan, menjadi tanggungjawab pelajar untuk membawa bahan itu ke sekolah.
Ada juga ibu bapa yang menegaskan pelajar yang tidak membuat kerja rumah tidak harus dihukum. Lebih lucu, ada pula ibu bapa mengadu mengenai guru yang didakwa memberikan tiga ayat pujian kepada seorang pelajar tetapi hanya dua ayat pujian kepada pelajar lain.
Realitinya, isu gangguan yang diterima oleh golongan pendidik ini bukan hanya berlaku di Korea Selatan - negara yang amat menekankan kualiti pendidikan - sebaliknya turut berlaku di negara ini. Situasi ini amat ketara apabila medium komunikasi kini yang mana guru dan ibu bapa boleh berhubung tanpa bersemuka, hanya menerusi kumpulan WhatsApp. Jadi, lebih mudah untuk ibu bapa mengemukakan bantahan terhadap guru.
Seorang guru di satu negeri di Semenanjung yang sudah lebih 10 tahun menjadi pendidik - yang penulis kenali - sering berkongsi kisah lucu apabila pernah 'diajar' oleh bapa kepada muridnya. Menurutnya, ada satu insiden yang mana si bapa itu tidak berpuas hati dengan gred yang diberinya kepada murid dalam satu subjek.
"Ada bapa tidak puas hati mengenai gred Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) untuk satu subjek. Saya bagi tiga, tapi si bapa ini kata anaknya patut dapat lima. Saya bagi tiga, dia tidak puas hati. Dia 'hentam' saya dalam (mesej) WhatsApp. Dia kata anak dia bagus, patut dapat enam. Dia juga kata sudah lama tidak puas hati.
"Tak cukup dengan (menerusi) WhatsApp, dia 'call' pula, tengking-tengking. Lepas (saya) bagi tahu anak dia dapat tiga kerana masih perlu hantar enam lagi tugasan. Lagipun, saya kata, ia bukan gred keseluruhan, itu adalah gred untuk pertengahan tahun untuk (PBP bagi subjek berkenaan).
"Mungkin dia ingat guru sekolah rendah ini 'kurang pandai' berbanding guru sekolah menengah. Dia ingat guru sekolah rendah tidak memiliki kelulusan institusi pengajian tinggi. Apabila saya kata saya ada ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan (dengan subjek itu), baru dia terdiam," katanya.
Katanya, apa yang terjadi sebenarnya, mungkin individu terbabit mempercayai maklumat kurang tepat daripada anaknya.
"Anaknya itu mendakwa sudah menghantar tugasan tapi cikgu tidak nilai," katanya yang turut menganggap tindakan merendahkan tugas guru sekolah rendah itu tidak menghormati profesion guru.
Menurut guru itu, apa yang dikesalkan individu terbabit langsung tidak memohon maaf.
Lebih membuatkannya 'terasa hati' apabila si bapa tadi menggunakan suara tinggi apabila bercakap perkara itu.
"Itu hanya antara satu pengalaman berdepan dengan tuduhan melulu daripada ibu bapa. Ada ibu bapa dalam kumpulan WhatsApp mendakwa guru (iaitu rakan kepada saya) tidak memberi peringatan untuk membawa bahan untuk mata pelajaran. Walhal katanya, perkara itu sudah lama diingatkan kepada ibu bapa.
"Sebagai guru, rakan saya tadi hanya memberikan peringatan kepada ibu bapa berhubung perkara itu. Sedangkan, peringatan sama sudah lama disampaikan menerusi kumpulan WhatApp sama yang disertai ibu bapa lain," katanya.
Bagaimanapun, guru itu menegaskan bahawa insiden seperti itu hanya membabitkan sejumlah kecil ibu bapa.
Berbalik kisah di Korea Selatan tadi, susulan protes guru itu, Perhimpunan Kebangsaan Korea Selatan yang juga parlimen sudah meluluskan rang undang-undang yang akan melindungi guru dengan lebih baik daripada gangguan, menurut laporan Straits Times yang memetik laporan media tempatan.
Rang undang-undang baharu yang diluluskan itu secara kolektif berada di bawah apa yang dipanggil Rang Undang-Undang Pemulihan Hak Guru. Ia akan melindungi guru jika mereka dituduh melakukan penderaan kanak-kanak, individu terbabit tidak akan digantung serta-merta seperti amalan semasa. Sebaliknya, siasatan lanjut dan bukti diperlukan terlebih dahulu.
Sebenarnya - dalam konteks ini - undang-undang khusus dalam hal ini mungkin tidak perlu di mana-mana negara, jika semua pihak menghormati tugas guru. Ibu bapa juga perlu sedar bahawa tugas mendidik ini bukannya boleh 'bulat-bulat' diserahkan kepada guru. Murid atau pelajar bukan hanya belajar ketika mereka di sekolah.
Hakikatnya, pendidikan bermula di rumah. Mungkin ramai setuju dengan pandangan keperibadian kita apabila dewasa termasuk sehingga menjadi ibu bapa - sebahagian besarnya adalah 'produk' atau kesan langsung apa yang kita pelajari dan perhatikan menerusi 'contoh terdekat' semasa membesar di rumah.
Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro