Laporan Harian Metro
Laporan Harian Metro
Wartawan Harian Metro


Kuala Lumpur: Mahkamah menolak permohonan reman tambahan terhadap tiga individu yang ditahan polis berkaitan kes pertukaran hak milik lot tanah di tengah ibu kota milik dua beradik wanita bernilai lebih RM7 juta, hari ini.

Sumber memberitahu Harian Metro, kelima-lima suspek mulanya ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) antara satu hingga empat hari.

"Permohonan reman tambahan terhadap tiga daripada mereka di mahkamah hari ini ditolak. Jadi polis membebaskan mereka hari ini. Seorang lagi akan dibebaskan esok kerana tempoh remannya selama empat hari akan berakhir.

"Manakala, seorang lagi sudah dibebaskan selepas tempoh remannya selama satu hari berakhir," katanya.

Usaha Harian Metro mendapatkan ulasan lanjut daripada pihak berkuasa mengenai perkembangan siasatan tidak berjaya namun difahamkan, ia akan diumumkan sebaik siasatan lengkap dilakukan.

Terdahulu, Harian Metro hari ini melaporkan, lima individu termasuk peguam ditahan polis selepas menerima laporan daripada dua beradik wanita yang mendakwa hak milik tanah lot seluas 1,858 meter persegi (20,000 kaki persegi) dipindahkan kepada sebuah syarikat tanpa pengetahuan mereka.

Laporan itu turut mempersoalkan bagaimana pejabat tanah boleh meluluskan pemindahan hak milik tanah terdiri daripada dua beradik wanita itu tanpa keizinan.

Susulan laporan itu, rata-rata netizen di ruangan komen Harian Metro mendesak siasatan turut dilakukan di pejabat tanah berkenaan bagi merungkai kisah sebenar di sebalik nasib malang menimpa dua beradik itu yang kehilangan hak milik tanah berkenaan.

Dalam laporan terdahulu, Harian Metro melaporkan, mangsa hanya menyedari kehilangan hak milik tanah selepas dimaklumkan anak saudaranya pada 10 Ogos lalu.

"Dia melakukan semakan dengan pegawai pejabat tanah dan mengakui terkejut apabila tanah miliknya disahkan sudah ditukar hak milik kepada syarikat berkenaan tanpa pengetahuannya.

"Mangsa mendakwa tidak pernah berurusan dengan mana-mana pihak dan membuat pemindahan hak milik tanah kepada mana-mana individu ataupun syarikat. Lebih menghairankan bagaimana tanah boleh dipindah milik tanpa pengetahuan pemilik tanah itu sendiri. Urusan tukar hak milik tanah ini bukan benda mudah, saya khuatir ada perkara tidak betul berlaku di pejabat tanah itu," katanya.

Untuk rekod, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Berita berkaitan:

  • Tangan ghaib kebas tanah RM7 juta
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 10:24 PM