GAMBIT (kanan) dan Aaron jadi 'lelaki songsang' dalam drama Suami Lelaki Pendosa di TV3. FOTO IG Gambit
GAMBIT (kanan) dan Aaron jadi 'lelaki songsang' dalam drama Suami Lelaki Pendosa di TV3. FOTO IG Gambit
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Gambit Saifullah, 36, sanggup menerima watak lelaki homoseksual atau 'gay' selepas mengetahui rakan pelakon gandingannya adalah Datuk Aaron Aziz.

Gambit berkata pengalaman banyak bekerja dengan Aaron di dalam drama dan tahu sisi peribadi bapa tiga cahaya mata itu yang rapat dengan anak-anaknya dan keluarga menyebabkan dia berani membuat keputusan.

"Saya adalah lelaki 'straight' (lurus) dan Aaron juga 'straight', jadi sedikit sebanyak saya tahu sisi peribadinya. Jadi, saya tidak begitu bimbang untuk memberi kerjasama dengannya dalam lakonan kami sebagai 'lelaki songsang'.

"Tapi, kalau bukan Aaron yang melakonkan watak Dean Ilyas sebagai pasangan saya untuk drama ini, tak mungkin rasanya saya akan cukup berani menerima watak Izfairin itu," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Gambit atau nama sebenarnya Mohd Gambit Saifullah Rosli ditemui pada majlis sidang media secara virtual drama Suami Lelaki Pendosa untuk slot Samarinda TV3, baru-baru ini.

Gambit berkata dia juga seorang yang cukup teliti terhadap setiap tawaran drama yang datang kepadanya. Ujarnya, dia bagaimanapun melihat watak Izfairin itu agak menarik dan sangat mencabar.

"Saya biasanya akan meneliti beberapa perkara seperti watak, 'team' produksi termasuk memikirkan kesan akan diterima untuk watak itu sebagai pelakon dan selebriti. Saya ambil kira semuanya.

"Jadi, kalau bukan Aaron dan pelakon itu pula adalah seseorang yang saya tidak kenal memang susah sebab saya 'lurus'. Jika pelakon lelaki itu ada sedikit sifat lembut, akan jadi kacau," katanya.

Menurut Gambit, apa yang dipaparkan dalam drama Suami Lelaki Pendosa adalah sebahagian realiti kehidupan masa kini. Katanya, penghasilan drama itu juga bukan bertujuan mengadili kehidupan orang.

"Saya mengharapkan penonton akan bersikap terbuka untuk drama ini. Pada saya, sebagai pelakon tentunya ada limit yang boleh dilakukan sebagai individu dan muslim. Cuma, ini adalah tuntutan kerja saya.

"Apapun, saya masih merasakan tidak melampaui batas melakonkan watak ini (homoseksual) kerana paling utama ialah niat untuk membawa hala tuju perkongsian kepada penonton bahawa kisah ini wujud dalam realiti," katanya.

Drama Suami Lelaki Pendosa mempunyai 28 episod dan diarahkan oleh Eyra Rahman. Ia juga adalah karya adaptasi novel tulisan Umie Nadzimah berjudul Imamku Lelaki Pendosa.

Selain Gambit dan Aaron, drama ini membariskan pelakon lain seperti Sophia Albarakbah, Fauzi Nawawi, Datin Maria Farida, Aleza Shadan, Shima Anuar, Edika Yusof dan ramai lagi.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 1:18 PM