AARON lakonkan watak sebagai Dean Ilyas.
AARON lakonkan watak sebagai Dean Ilyas.
Norhayati Nordin


Dalam senarai nama pelakon lelaki di Malaysia, Datuk Aaron Aziz, 46, antara yang masih menjadi perhatian penonton dan terus mendapat kepercayaan penerbit serta stesen televisyen untuk watak utama.

Namun, seiring tempoh hampir dua dekad mengerah keringat dalam karier seni lakon diceburinya, Aaron kini tampil berani melakonkan watak yang mencabar buatnya iaitu sebagai lelaki homoseksual dalam drama bersiri Suamiku Lelaki Pendosa.

Menurut anak jati Singapura ini, sudah tiba masa dia menerokai watak baharu yang memberi impak besar dalam kerjaya lakonannya sekali gus menjadi lebih 'versatile'.

Aaron berkata, dia sudah menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin untuk watak Dean Ilyas dalam drama bersiri di slot Samarinda TV3 itu.

"Bagaimanapun, kesediaan saya melakonkan watak Dean bukanlah kerana menyokong komuniti 'songsang'. Ia hanya cerita yang diadaptasi daripada novel.

"Jadi, anda kena tonton dulu drama ini untuk setiap episodnya dan akan faham kisah yang berlaku. Kepada netizen yang mahu mengecam, ingatlah yang kami hanya pelakon," katanya.

Aaron yang juga bapa tiga anak berkata, kisah diketengahkan drama itu memang diambil daripada novel berjudul Imamku Lelaki Pendosa tulisan Umie Nadzimah.

"Ia bukan kisah benar. Namun, kita tetap kena akur budaya songsang bukanlah sesuatu yang baharu dalam masyarakat terutama pada kehidupan di sekeliling hari ini," katanya ketika ditemui pada sesi sidang media secara virtual, baru-baru ini.

Aaron berkata, drama Suamiku Lelaki Pendosa itu juga dihasilkan bukan bertujuan sengaja mahu mempersendakan komuniti songsang berkenaan dan ada mesej tersendiri cerita ingin disampaikan.

Berganding dengan Gambit Saifullah sebagai pasangan, Aaron berkata, cabaran paling berat ialah untuk meyakinkan penonton yang dia tiada nafsu pada wanita.

"Yang pasti tidak banyak adegan bersentuhan antara saya dan Gambit sebagai Izfairin dalam drama ini. Tapi, saya tetap kena tunjukkan begitu ambil berat terhadapnya.

"Babak paling berat buat kami ketika Izfairin memberitahu Dean yang dia dijangkiti HIV. Untuk babak itu, kami perlu menunjukkan saling mengambil berat dan mencintai," katanya.

Walaupun tak menafikan ada rasa bimbang dengan kecaman netizen, namun pembikinan drama Suamiku Lelaki Pendosa disifatkan Aaron tidak keterlaluan dan masih menjaga sensitiviti.

Selain Aaron dan Gambit, drama arahan Eyra Rahman itu turut dibintangi antaranya Fauzi Nawawi, Datin Maria Farida, Aleza Shadan, Shima Anuar dan Edika Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 6:30 AM