Shah Alam: “Kami hanya mahu mengambil nombor pendaftaran teksi berkenaan namun pemandunya bertindak samseng dengan melanggar kereta yang kami naiki,” kata Sharifah Fara Ryyana Syed Fareid, 24.

Menurutnya, pengguna laman sosial ‘salah faham’ apabila melihat mereka menyangka pihaknya bertindak agresif dan memaki hamun pemandu teksi itu.

“Memang orang nampak kami dalam video itu sedang marah. Namun sebagai perempuan, kami tidak berdaya untuk melawan seorang lelaki apabila ditumbuk,” katanya.

Rakaman video berdurasi kira-kira dua minit itu tersebar di laman sosial dan blog sehingga menjadi viral yang menunjukkan kumpulan wanita memaki hamun pemandu teksi di sebuah stesen minyak.

Rakaman turut menunjukkan kecederaan yang dialami wanita itu serta pemandu teksi terbabit.

Sharifah Fara Ryyana yang juga penuntut kolej berkata, sebelum kejadian mereka empat beradik dan teksi berkenaan dari arah sama dan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas di hadapan plaza perabot di Seksyen 7, di sini, kira-kira jam 3 petang, Ahad lalu.

“Teksi itu berada di hadapan sebelah kiri kami. Kakak saya Sharifah Fara Difla, 28, memasang lampu isyarat dan mengangkat tangan kepada pemandu teksi berkenaan supaya memberi laluan untuk masuk ke stesen minyak.

“Pada mulanya dia seperti mahu memberi laluan kepada kami, namun apabila kereta kami mahu ke kiri, lelaki itu seolah-olah cuba menghalang laluan menyebabkan kami memandangnya,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 10:24 AM