SITI Rasidah (kiri) bersama ahli keluarga ketika melaksanakan tugasan pengurusan pengebumian di Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass
SITI Rasidah (kiri) bersama ahli keluarga ketika melaksanakan tugasan pengurusan pengebumian di Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Bekas timbalan pendakwa raya dan kini bertugas sebagai peguam, Siti Rasidah Abd Radzaz, 39, umpama wanita besi kerana selain tugas berkenaan beliau turut memandu van jenazah.

Malah, beliau terbabit dalam mengurus lebih 5,000 jenazah, termasuk 630 jenazah pesakit Covid-19.

"Saya biasa memandi serta mengurus jenazah sejak remaja. Ia dipelajari daripada ibu.

"Saya bersyukur sehingga kini sudah puluhan kali saya memandu van jenazah untuk mengurus pengebumian. Lokasi paling jauh saya pernah pergi ialah dari Johor Bahru ke Felda Tenggaroh, Mersing dengan jarak 101 kilometer," katanya.

Ibu Siti Rashidah, Sa'dah Saliehan, 66, pernah bertugas sebagai pemandi jenazah wanita di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jaij) dan kini bersara manakala arwah bapanya, Allahyarham Abd Radzaz Mijo, adalah bekas bilal Masjid Abu Bakar.

Menurut peguam di Tetuan Siti, Affida & Ariffin itu, kemahiran memandu van jenazah melengkapi pakejnya dalam mengurus Badan Pengurusan Jenazah al Kauthar.

Katanya yang pernah bertugas di Jabatan Peguam Negara sebagai Timbalan Pendakwa Raya Johor, buat masa ini badan pengurusan berkenaan ada sembilan pekerja dengan sebahagian membabitkan ahli keluarganya.

"Saya mula memandu van jenazah bagi memastikan kelancaran operasi syarikat selain mempermudah urusan pengebumian jenazah.

"Bagi tujuan itu, saya mengikuti kursus lesen memandu vokasional (GDL) pada 2021 ketika pandemik Covid-19 bersama suami, Mohd Najib Mohd Shokri, berusia 39 tahun sebelum adik perempuan saya iaitu Dr Nor Hidayah berumur 34 tahun menyusul.

"Alhamdulillah, sehingga kini, semuanya lancar. Ketika memandu van jenazah, saya lebih berhati-hati, tertib dan sentiasa memastikan pemanduan berhemah," katanya.

SITI Rasidah (tengah) menunjukkan set pengurusan jenazah manakala Dr Nor Hidayah (kanan) menunjukkan anugerah diterima bagi kurus pengurusan jenazah. FOTO Mary Victoria Dass
SITI Rasidah (tengah) menunjukkan set pengurusan jenazah manakala Dr Nor Hidayah (kanan) menunjukkan anugerah diterima bagi kurus pengurusan jenazah. FOTO Mary Victoria Dass

Siti Rasidah berkata, dia yang juga antara pengasas Badan Pengurusan Jenazah al Kauthar pada 2019 tidak menafikan tugasan sebagai pemandu van jenazah kerap menjadi perhatian ramai, termasuk di tanah perkuburan.

"Kami utamakan petugas lelaki memandu van jenazah manakala kami ambil alih tugas ketika mereka berdepan kekangan tertentu.

"Apa yang penting sediakan payung sebelum hujan. Kita perlu sentiasa bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk menjadi pemandu van jenazah apabila diperlukan," katanya.

Ibu empat cahaya mata berusia empat tahun hingga 11 tahun itu berkata, dia berpengalaman memandu van jenazah milik arwah bapanya.

"Saya bersyukur sehingga kini tidak pernah berdepan pengalaman mistik mahupun tidak diingini. Malah, anak tidak kekok untuk menaiki van jenazah ini, termasuk untuk ke sekolah," katanya.

Menurutnya, walaupun masanya terbatas namun dia tetap meneruskan tugas memandikan jenazah serta memandu van jenazah.

"Ada kalanya saya 'angkut' dan bawa anak-anak ketika mengurus jenazah dan mereka, terutama anak sulung dan kedua, juga menunjukkan minat sama.

"Saya berpendapat, bidang pengurusan jenazah sangat memerlukan pelapis dalam kalangan generasi muda," katanya.

Menurut Siti Rasidah, kesemua adik-beradiknya juga memainkan peranan dalam memastikan kelancaran syarikat termasuk sebagai pemandi jenazah, pemandu van jenazah, penceramah dan membangunkan laman web syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 7:30 AM