Dua anak seorang mualaf yang turut bersama mengiringi jenazah ayahnya hingga ke liang lahad untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ, Subang Jaya walaupun berlainan agama. Foto Ihsan SPJ
Dua anak seorang mualaf yang turut bersama mengiringi jenazah ayahnya hingga ke liang lahad untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ, Subang Jaya walaupun berlainan agama. Foto Ihsan SPJ
Alias Abd Rani


“KAMI sangat terharu walaupun anaknya bukan Islam, mereka tetap mengikuti van membawa jenazah bapanya hingga tanah perkuburan.

“Bukan itu sahaja, seorang anak arwah turun ke liang lahad menguruskan jenazah menerusi tunjuk ajar kami,” kata Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah (SPJ) Ustaz Muhammad Rafieudin Zainal Rasid ketika menceritakan pengalaman menguruskan jenazah seorang mualaf baru-baru ini.

Dia bersama beberapa kakitangan SPJ mendapat panggilan dari Hospital Serdang untuk menguruskan jenazah lelaki warga emas terbabit.

Menceritakan pengalaman itu, Muhammad Rafieudin berkata, sebaik tiba di bilik mayat hospital terbabit didapati terdapat beberapa orang waris berbangsa Cina sedang menunggu di luar bilik berkenaan.

“Apabila bertanya, mereka adalah anak-anak arwah. Selepas itu, kami bersama waris ke bilik mayat untuk membuat pengecaman.

“Kami kemudian mengajak mereka bersama-sama menguruskan jenazah, bagaimanapun mereka angkat tangan tanda menolak disebabkan terlalu sebak dengan pemergian arwah.

“Sebaik selesai, kami membawa jenazah menaiki van untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ, Subang Jaya.

“Ketika itu, anak sulung lelaki arwah menaiki van dan duduk di sebelah jenazah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pengalaman itu diceritakan menerusi coretan yang kemudian dimuat naik menerusi akuan Facebook SPJ hingga mendapat perhatian netizen.

Ada antara mereka kagum tidak kurang yang gembira melihat situasi yang jarang berlaku pada hari ini.

Menurut Muhammad Rafieudin, sebaik tiba di tanah perkuburan islam, mereka dapat melihat gelagat waris arwah seperti teruja melihat persekitarannya.

“Ketika jenazah tiba, kami meminta wakil waris masuk ke liang lahad bagi menyambut jenazah arwah. Kami ajar kaedah memegang jenazah dan paling terharu ketika tangan anaknya membuka setiap ikatan tali kafan.

“Kami memberikan bimbingan untuk membuka helaian kain di bahagian wajah arwah dan anaknya menuruti setiap arahan.

“Yang terakhir ialah dia mengambil tanah dan meletakkan di belakang wajah arwah lalu kami timbuskan tanah seperti biasa.

“Inilah pengalaman pertama kami lalu sepanjang menguruskan jenazah. Saya sangat bersyukur walaupun mereka bukan Islam tetapi tetap datang melihat arwah buat kali terakhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 10:30 PM