Danial ketika bersama bapanya.
Danial ketika bersama bapanya.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya minat politik sejak di universiti. Arwah ayah memang tahu dan memberi sokongan penuh. Dia tak pernah halang saya nak sertai politik," kata anak kepada pelawak dan pelakon popular, Allahyarham Harun Salim Bachik, Danial Al Rashid, 37, yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Tiga, Shah Alam pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin.

Danial atau nama sebenarnya Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid adalah anak kedua Harun hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama, Martina Ahmad, 61.

Danial yang juga muka baru dalam Pakatan Harapan (PH) menewaskan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dari Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 3,382 undi.

Danial ketika dihubungi berkata, dia bersyukur pembabitan dalam politik mendapat restu ibu bapanya dan sokongan padu daripada keluarga.

"Saya sudah minat dan aktif politik sejak masih belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) lagi dan arwah ayah tahu mengenainya. Tapi, dia tak pernah halang saya termasuk selepas habis belajar pun saya pernah juga menyertai PAS.

"Arwah tetap tahu kegiatan politik saya. Cuma ketika dia jadi Presiden Persatuan Seniman pada 2009, barulah kami banyak bersembang hal-hal organisasi dan politik kerana arwah pun ketika itu nampak seronok.

"Saya juga banyak bagi 'advice' (nasihat) dan dia pun berkongsi pandangannya. Termasuklah, ketika saya sertai Perhimpunan Bersih, arwah tahu dan hanya berpesan kepada saya agar hati-hati. Dia sama sekali tidak pernah halang," katanya kepada Harian Metro.

Danial Al- Rashid menang kerusi DUN N41 di Pusat Penjumlahan Undi N41 Batu Tiga Dewan Teratai Seksyen 19, Shah Alam. FOTO AZIAH AZMEE E
Danial Al- Rashid menang kerusi DUN N41 di Pusat Penjumlahan Undi N41 Batu Tiga Dewan Teratai Seksyen 19, Shah Alam. FOTO AZIAH AZMEE E

Ditanya mengenai bebanannya sebagai anak selebriti yang menjadi calon bertanding pilihan raya dan menang, Danial berkata, dia melihat bebanan digalasnya itu menjurus kepada menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga.

"Bebanannya bukanlah pada soal tanggungjawab digalas sebagai wakil rakyat baharu, tetapi saya melihat ia adalah pesanan pada diri saya untuk menjaga nama baik keluarga. Taklah teruk dan berat sangat pun.

"Lagipun, saya dan kawasan Shah Alam bukan asing. Saya membesar di Shah Alam bersama emak dan tiga lagi adik-beradik. Manakala, arwah ayah dan keluarga keduanya di Kuala Lumpur. Jadi, saya pun bukanlah naik pada masa ini atas nama politik dan juga nama arwah ayah.

"Tidaklah berat sangat bebanan itu, tapi pada masa sama tak ringan juga sebab kena jaga nama baik keluarga. Termasuk, apa yang pernah arwah ayah cemerlang dulu, katakanlah dalam kepimpinan Seniman dia baik, maknanya saya pun kena buat sebaik macam mana arwah ayah juga," katanya.

Danial yang memiliki Ijazah Pengurusan Matematik mempunyai enam beradik, empat daripada ibu kandungnya dan dua lagi daripada ibu tiri, Suriati Mohd Noor.

Harun meninggal dunia pada 8 Mac 2015 ketika berusia 56 tahun akibat sesak nafas kerana penyakit asma di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 3:51 PM