LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: "Isteri ada beritahu kerap dengar suara budak menangis namun sekadar mengesyaki mangsa mungkin dimarahi bapanya ketika belajar," kata Mohd Zezeli Abdul Latif, 58.

Mohd Zezeli adalah jiran kepada pasangan suami isteri yang dipercayai mendera kanak-kanak perempuan berusia lima tahun sehingga meninggal dunia di Taman Malcop, Silibin di sini.

Kata Mohd Zezeli yang berjiran sebelah rumah dengan keluarga mangsa, isterinya kerap mendengar tangisan kanak-kanak itu serta suara lelaki dalam nada tinggi seakan menjerit.

"Pernah juga dengar suara lelaki itu menjerit dan meminta anaknya mencari barang, mungkin dia marah sebab ada barang yang hilang.

"Setahu saya, lelaki itu tinggal bersama isterinya sahaja sebelum kanak-kanak itu muncul dalam tempoh dua bulan ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Mohd Zezeli bagaimanapun mengakui sebelum ini tidak pernah melihat kanak-kanak itu dan hanya menyedari kehadirannya di situ sejak dua bulan lalu.

Katanya, bapa angkat mangsa berusia 66 tahun itu sudah lama menetap di taman perumahan berkenaan dengan disifatkan sebagai seorang yang tidak ramah dengan jiran tetangga.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian menimpa kanak-kanak itu selepas melihat banyak kereta peronda polis di hadapan rumah jirannya itu.

Seorang lagi jiran yang hanya dikenali sebagai Syazwan, 32, berkata, kali terakhir dia melihat mangsa pada Ahad lalu sekitar 8 malam ketika membuang sampah di hadapan rumah dengan menyifatkan kanak-kanak itu agak ceria pada ketika itu.

"Ketika itu, kanak-kanak itu pun keluar untuk buang sampah dan dia dilihat ceria dengan pakaian barbie berwarna merah jambu.

"Saya jarang melihatnya sejak kanak-kanak itu tinggal di sini, hanya dengar suaranya sahaja di dalam rumah yang saya tidak pasti suara sedang bermain atau menjerit dipukul," katanya.

Seorang lagi jiran, N Gandhi, 74, berkata, mangsa seorang kanak-kanak yang comel serta ceria, dan pernah menyapanya namun mengakui dia tidak pernah melihat mangsa bermain di luar atau halaman rumah.

"Saya dan bapa angkat kanak-kanak itu pernah menetap di kuarters sama di Silibin sebelum mereka berpindah ke taman perumahan itu selepas bersara," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi mengesahkan mangsa dijaga ibu angkatnya itu sejak April lalu.

Ditanya sama ada mangsa turut diganggu secara seksual, Abang Zainal Abidin berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 3:31 PM