FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima 2.86 juta permohonan untuk memindahkan amaun awal daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel membabitkan jumlah sebanyak RM8.78 bilion setakat 22 Mei 2024.

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, KWSP menjangkakan jumlah permohonan ahli yang memilih untuk memindahkan jumlah permulaan daripada Akaun Sejahtera mereka kepada Akaun Fleksibel akan terus meningkat sehingga tarikh akhir pada 31 Ogos depan.

"Kami juga gembira melihat peningkatan ketara dalam aplikasi melalui aplikasi mudah alih KWSP i-Akaun.

"Ini mencerminkan usaha kami untuk meningkatkan pengalaman dan kebolehcapaian pengguna, sambil kami terus berinovasi dan mengembangkan penawaran digital kami," katanya dalam kenyataan.

KWSP berkata, pilihan pemindahan itu itu dibuka kepada ahli bermula 12 Mei lalu dan sebanyak 3.04 juta permohonan pengeluaran daripada Akaun Fleksibel sudah diluluskan berjumlah RM5.52 bilion.

Bermula 12 Mei hingga 31 Ogos, ahli akan mempunyai pilihan untuk memindahkan satu pertiga daripada baki simpanan mereka daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

Selain itu, pemindahan amaun permulaan kepada Akaun Fleksibel adalah berdasarkan baki dalam Akaun Sejahtera ahli pada tarikh permohonan.

Bagaimanapun, pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, dengan pengeluaran minimum RM50.

Memandangkan tarikh tutup pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan mereka dalam Akaun Sejahtera kepada Akaun Fleksibel adalah pada 31 Ogos, ahli dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa membuat pemindahan.

Ahli yang masih belum mendaftar dengan KWSP i-Akaun digalakkan berbuat demikian bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel.

Untuk maklumat mengenai Penstrukturan Semula Akaun KWSP dan butiran pilihan untuk memindahkan jumlah permulaan, boleh melayari www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 3:22 PM