VAN ambulans Toyota HiAce yang mahu dilepaskan.
VAN ambulans Toyota HiAce yang mahu dilepaskan.
SHARIL (empat dari kanan) menerima sumbangan untuk penghuni Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA).
SHARIL (empat dari kanan) menerima sumbangan untuk penghuni Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA).
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: "Saya tiada pilihan melainkan jual kedua-dua kenderaan yang disayangi demi menyelamatkan pusat jagaan daripada ditutup buat selama-lamanya," kata pengasas Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA), Sharil Hussein, 43.

Sharil berhasrat melepaskan kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Pajero dan van ambulans Toyota HiAce demi mencari dana bagi menampung kos operasi pengurusan rumah jagaan.

Menurutnya, Mitsubishi Pajero dijual pada harga RM55,000 manakala Toyota HiAce pula (RM25,000).

"Sebab utama saya mengambil langkah ini kerana kekurangan aliran tunai hingga menyukarkan urusan pembayaran gaji pekerja, makan dan minum penghuni serta sewa bangunan.

"Dengan kos operasi untuk sebulan mencecah RM50,000 dan tahun 2024 adalah paling kritikal, kami sudah tiada pilihan walaupun banyak jasa bersama SUV serta ambulans itu.

"Bagaimanapun, jika kedua-dua aset ini terjual, ia (hasil jualan) hanya mampu bertahan satu setengah bulan sahaja dan selepas itu kami perlu mencari alternatif lain," katanya kepada Metro Ahad, di sini.

VAN ambulans Toyota HiAce yang mahu dilepaskan.
VAN ambulans Toyota HiAce yang mahu dilepaskan.

Berkongsi mengenai Pusat Jagaan Warga Tua SRA, Sharil berkata, ketika ini beliau dan pasukannya menjaga 29 penghuni berusia 36 hingga 82 tahun.

"Moga ada pihak sudi membantu dalam pengurusan operasi berkenaan penjualan aset bermakna ini kerana kami memerlukan wang tunai segera.

"Walaupun dahulu kami bekerja keras untuk mendapatkan kedua-dua kenderaan, tetapi terpaksa menjualnya kerana keadaan yang sangat kritikal," katanya.

Menurutnya, hatinya luluh dan berat mengenang ujian yang menimpa, namun tidak putus berdoa semoga Allah SWT membuka jalan yang terbaik.

SHARIL (empat dari kanan) menerima sumbangan untuk penghuni Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA).
SHARIL (empat dari kanan) menerima sumbangan untuk penghuni Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA).

"Sayang sebenarnya hendak melepaskan aset itu, tetapi saya kena ikhtiar untuk bantu pusat jagaan.

"Saya nampak jual SUV dan ambulans itu saja jalannya sekarang kerana sumber kewangan pun tidak menentu," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membeli Mitsubishi Pajero dan Toyota HiAce boleh menghubungi Sharil di talian 019-879 1926 atau Nurul Farhana (012-5767459).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 12:22 PM