PENERIMA sumbangan menikmati jamuan yang disediakan pada Program Titipan Kasih Korban 2024 : Harian Metro Bersama EZ Qurban di Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA). FOTO Faiz Anuar
PENERIMA sumbangan menikmati jamuan yang disediakan pada Program Titipan Kasih Korban 2024 : Harian Metro Bersama EZ Qurban di Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA). FOTO Faiz Anuar

Kuala Selangor: Walaupun berdepan pelbagai dugaan termasuk perlu menjual kenderaan demi menyelamatkan pusat jagaan dari ditutup buat selamanya, ia tidak mematahkan semangat 13 staf Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA), di sini terus berbakti kepada penghuninya.

Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Korban bersama EZ Quban Sdn Bhd dan Yayasan EZ Prihatin yang berlangsung di pusat jagaan berkenaan menceriakan penghuninya selain meraikannya dalam suasana Aidiladha.

Lebih istimewanya, EZ Quban dan Amanat Lebuhraya Rakyat turut menaja ibadah korban tahun ini.

Pengasasnya, Sharil Hussein berkata, pihaknya berbesar hati dengan penganjuran program di situ selain turut memberi manfaat kepada penduduk setempat.

"Alhamdulillah program yang dirancang sebelum ini berjalan lancar dengan dibantu pasukan Harian Metro dan EZ Quban.

"Ini kali pertama tempat kami dipilih untuk melaksanakan program agihan kepada golongan memerlukan. Kita harap ukhwah ini kekal terjalin buat selamanya dan terima kasih di atas penghargaan serta sumbangan daging korban kepada pusat jagaan SRA.

"Semoga Allah SWT mengurniakan pahala dan rahmat-Nya kepada semua yang terlibat termasuk para penderma," katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut, Sharil berkata, beliau turut berterima kasih kepada Harian Metro di atas laporan mengenai keadaan terkini pusat jagaan itu.

Menurutnya, ketika ini beliau bersama staf menjaga seramai 29 penghuni berusia 36 hingga 82 tahun.

"Moga ada pihak yang sudi membantu kami dalam pengurusan operasi pusat jagaan ini kerana kita memerlukan wang tunai segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:00 AM