ANTARA warga emas yang dijaga di pusat jagaan berkenaan. FOTO ihsan EZ Qurban
ANTARA warga emas yang dijaga di pusat jagaan berkenaan. FOTO ihsan EZ Qurban

Kuala Selangor: Seorang lelaki berusia 40 tahun sanggup mengabdikan diri dan masanya untuk berbakti kepada warga emas yang kehilangan tempat bergantung.

Malah, usaha, Sharil Hussien terus dipertingkatkan terutamanya ketika Ramadan ini untuk menjaga dan menguruskan 40 warga emas di sebuah rumah kebajikan berkonsepkan Islam yang dibina hasil usahanya sendiri.

Shahril berkata, Pusat Jagaan Warga Tua itu ditubuhkan sejak setahun lalu dan dia sedang giat mencari dana untuk sistem pengurusan serta penjagaan keseluruhan penghuni di rumah berkenaan.

"Ada pesakit kronik yang menumpang kasih di sini. Begitu juga dengan warga emas yang ketiadaan waris untuk menuntut mereka.

"Sebahagian daripada mereka adalah pesakit kronik. Entah bagaimana saya terdetik untuk memelihara mereka sedangkan saya dahulu pernah bertugas sebagai penjawat awam dengan gaji bulanan tetap," katanya.

Menurutnya, dia dibantu beberapa petugas terlatih bagi menguruskan kerja-kerja harian terutamanya pengurusan warga emas yang sakit terlantar.

Shahril berkata, pusat jagaan itu juga mempunyai pesakit kanser tahap empat yang kini menghitung hari menghadap Ilahi.

"Pernah juga penghuni baru tiga hari menetap dan boleh dikatakan masih dalam sesi berkenalan meninggal dunia akibat penyakit dihidapinya.

"Kami ini (pusat jagaan) ibarat transit akhir bagi pesakit kronik. Ada pesakit yang sempat bersama kami tiga hari sahaja. Kebajikan semua adalah tanggungjawab saya. Rezeki Allah luas. Ada di bumi ada di langit. Itu pesan guru saya dahulu. Saya yakin akan perkara ini," katanya.

WAKIL EZ Qurban menyantuni warga emas di pusat jagaan berkenaan. FOTO ihsan EZ Qurban
WAKIL EZ Qurban menyantuni warga emas di pusat jagaan berkenaan. FOTO ihsan EZ Qurban

Ditanya mengenai tindakan nekadnya berhenti kerja yang diibaratkan sebagai 'selesa'sebelum ini, Shahril berkata, baginya ia bukanlah penentu kebahagian seseorang.

"Jika memperoleh RM50 untuk diri sendiri sudah cukup asalkan kebajikan penghuni dan staf pusat jagaan ini terjaga.

"Saya sebak ketika melihat salah seorang staf mencuci luka pesakit kronik di pusat jagaan ini dengan mengunakan plastik sampah akibat kekurangan bekalan perubatan.

"Terus terang saya katakan, dana yang terkumpul belum mampu menampung keperluan warga emas di sini terutama yang sedang sakit," kongsinya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Yayasan EZ Prihatin, EZ Qurban dan Ez Fadaa yang menghulurkan sumbangan ke pusat jagaan berkenaan.

"Terima kasih Yayasan EZ Prihatin, EZ Qurban dan Ez Fadaa kerana memberi sumbangan yang saya rasakan ini amat bermakna kepada penghuni di sini.

"Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang tidak putus menghulurkan sumbangan kepada kami secara terus ataupun melalui badan-badan korporat dan NGO bagi kelangsungan hidup kami di sini," katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Yayasan EZ Prihatin 562405633644 atau boleh hubungi 018-9717624.

BARANGAN yang disampaikan EZ Qurban kepada pusat jagaan berkenaan. FOTO ihsan EZ Qurban
BARANGAN yang disampaikan EZ Qurban kepada pusat jagaan berkenaan. FOTO ihsan EZ Qurban

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 4:20 PM