PEMERIKSAAN kesihatan turut dijalankan.
PEMERIKSAAN kesihatan turut dijalankan.
Zaitie Satibi

PERJUANGAN mereka bukan sekadar menjaga kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara, malah turut berjuang membantu golongan yang memerlukan.

Dalam kesibukan mengharungi latihan ketenteraan, seramai 400 anggota dan pegawai 4 Divisyen Tentera Darat Malaysia dari Kem Wardieburn, Setapak di ibu negara berpeluang menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan mengunjungi pusat jagaan warga emas, Rumah Seri Kenangan dekat Kajang, baru-baru ini.

Selain menyantuni penghuni pusat jagaan terdiri warga emas terbiar yang tersisih, pasukan berkenaan turut mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar pusat jagaan itu, mengadakan senamrobik dan pemeriksaan kesihatan

Ketua Staf Markas 4 Divisyen Kem Wardieburn, Kolonel Asri Shukor berkata, tanggungjawab sosial pihaknya itu dijalankan menerusi Program Jiwa Murni. Kali ini membabitkan warga emas bagi memberi kesedaran kepada pasukannya untuk memupuk dan menyuburkan kasih sayang terhadap ibu bapa masing-masing yang wajar diberi perhatian.

AKTIVITI membersihkan pusat jagaan itu.
AKTIVITI membersihkan pusat jagaan itu.

Ini kerana, katanya, sebagai pasukan keselamatan yang dituntut bersemangat patriotik, jiwa mereka terlebih dulu perlu ditanam dengan asas nilai murni seperti hormat-menghormati dan tanggungjawab terhadap menjaga orang tua bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan.

“Bagi orang awam, mungkin agak pelik apabila mendengar tentera darat masuk ke rumah kebajikan orang tua. Sebenarnya, aktiviti sebegini adalah satu daripada kerja amal pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha merapatkan hubungan dengan masyarakat.

“Meskipun rutin kami dipenuhi dengan latihan ketenteraan, tetapi kami sedaya-upaya meluangkan masa untuk mendekatkan diri dengan masyarakat

dan fokus kali ini adalah untuk menyantuni warga emas.

“Tanpa kita sedar, segelintir warga emas terutama yang menghuni pusat kebajikan memerlukan perhatian daripada pihak luar dan dengan adanya program seumpama ini, ia menunjukkan bahawa masih ada orang yang menyayangi dan mengambil berat hal mereka,” katanya.

Asri berkata, program berkenaan turut dapat mengukuhkan kerjasama berpasukan, di samping mendekatkan pasukannya dengan masyarakat bertepatan dengan slogan ATM bahawa ‘tentera dan rakyat berpisah tiada.’

PENGHUNI pusat jagaan warga emas gembira dengan kehadiran pelawat ATM.
PENGHUNI pusat jagaan warga emas gembira dengan kehadiran pelawat ATM.

Sementara itu, keceriaan jelas terpancar di wajah penghuni pusat jagaan berkenaan ketika menerima kunjungan pasukan keselamatan negara yang meluangkan masa bersama mereka seawal jam 7.30 pagi hingga 5 petang dengan pelbagai aktiviti bermanfaat.

Seorang penghuni, Mokhtar Samdin, 77, berkata, dia bersyukur meskipun tiada ahli keluarga yang datang melawatnya, namun masih ada pihak yang menghargai warga emas sepertinya.

“Gembira kerana masih ada yang sayang pada kami. Saya sendiri tidak mempunyai keluarga kerana tidak berkahwin, oleh itu warga rumah ini menjadi keluarga saya.

“Kehadiran pelawat dari luar membuatkan saya seronok kerana rasa diri dihargai. Mereka melayan saya seperti bapa mereka sendiri,” katanya yang ditempatkan di pusat jagaan berkenaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 18 tahun lalu selepas dijumpai terbiar di ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 5:01 AM