GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Menyamar sebagai pengasas pusat jagaan warga emas dengan tujuan meminjam wang menerusi mesej aplikasi WhatsApp dihantar kepada kenalan mangsa.

Taktik penipuan itu dikesan apabila gambar Pengasas Pusat Jagaan Orang Tua Selangor Relief Agency (SRA), Sharil Hussein digunakan pihak tertentu untuk menyamar dan melakukan penipuan.

Sharil, 40, berkata, kejadian dikesan berlaku sekitar jam 2 petang semalam apabila dia menerima mesej WhatsApp dari seorang kenalan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu meminjam wang sebanyak RM3,800.

"Saya hairan kerana rakan terbabit tidak pernah meminjam wang daripada saya dan mengesyaki ia adalah penipuan 'scammer'.

"Rakan saya itu yang dihubungi menafikan menggunakan nombor telefon itu untuk membuat pinjaman wang daripada saya," katanya.

Tidak terhenti di situ, dia kemudian menerima mesej dihantar seorang kerani memaklumkan ada individu menggunakan gambarnya untuk meminjam duit.

"Saya bagaimanapun sempat memaklumkan kerani terbabit bahawa maklumat itu adalah palsu.

"Belum reda dua kejadian itu, dia dikejutkan sekali lagi apabila rakannya mendakwa gambar profil WhatsApp miliknya disalah guna untuk meminjam wang dari mangsa lain.

"Suspek menyamar kononnya wang itu mahu digunakan untuk membaik pulih kenderaan di pusat jagaan warga emas berkenaan," katanya.

Berikutan bimbang dengan tindakan sindiket penipuan itu, Sharil kemudian membuat laporan di Balai Polis Tanjong Karang pada jam 5 petang semalam.

"Saya minta polis menyiasat kejadian ini dan berharap pihak tidak bertanggungjawab berhenti menggunakan gambar saya untuk mendapatkan wang mudah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 5:49 PM