STAF Pusat Jagaan Orang Tua Selangor Relief Agency menguruskan jenazah pelakon veteran, Allahyarham Samsudin. FOTO Ihsan Sharil Hussein
STAF Pusat Jagaan Orang Tua Selangor Relief Agency menguruskan jenazah pelakon veteran, Allahyarham Samsudin. FOTO Ihsan Sharil Hussein
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Jenazah pelakon veteran Samsudin Baslah, 75, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubu Gajah, Paya Jaras, Sungai Buloh, 6.30 petang, hari ini.

Terdahulu, jenazah Samsudin yang tiba dari Hospital Tanjong Karang (HTK) dibawa ke Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA) untuk dimandikan dan dikafankan.

Selepas itu, jenazah disembahyangkan oleh kira-kira 13 orang termasuk penghuni, staf, dan ahli keluarga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas solat Asar.

Pengurus pusat jagaan, Sharil Hussein berkata, pemergian Allahyarham sangat dirasai berikutan arwah adalah 'penyeri' di pusat jagaan itu.

"Pemergian arwah juga kehilangan besar khususnya kepada dunia artis kerana arwah 'orang lama' dalam lakonan layar pada tahun 1980-an.

"Saya seolah tidak percaya kerana dalam tempoh setahun dua bulan, saya menjaga seorang artis yang bergelar seniman.

"Tak pernah saya menangis sebelum ini, tetapi pemergiannya membuatkan saya menangis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sharil berkata, Allahyarham tidak pernah menunjukkan gejala sakit, namun ada menyatakan keinginan bertemu keluarga dan rakan artis.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur proses pengurusan jenazah berjalan lancar termasuk di tanah perkuburan.

"Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya semasa menguruskan arwah.

"Riak mukanya tenang sekali dan moga Allah tempatkan arwah dalam kalangan orang beriman," katanya.

Terdahulu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di HTK pada 5.30 petang, semalam.

Allahyarham yang aktif sejak era 1980-an dikenali melalui lakonan dalam filem Bukit Kepong pada 1981, Penentuan (1982) dan Bila Hati Telah Retak (1983).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 11:04 PM