Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), Datuk Seri Hazani Ghazali pada temuramah di Pejabat Kementerian Dalam Negeri. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), Datuk Seri Hazani Ghazali pada temuramah di Pejabat Kementerian Dalam Negeri. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Putrajaya: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) akan mengambil alih 22 pintu masuk sempadan dengan kekuatan anggota keseluruhan seramai 14,000 sebaik rang undang-undang (RUU) penubuhan agensi itu diluluskan Parlimen, Julai ini.

Ketua Pengarah MCBA, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, pihaknya dijangka akan mengambil alih pelabuhan, lapangan terbang, pintu masuk darat, laut dan udara.

"Bagi peringkat permulaan MCBA akan mengambil alih 22 pintu masuk, keseluruhan kita mempunyai 143 pintu masuk sempadan dan 118 daripadanya adalah pintu masuk aktif.

"MCBA menjangka akan mengambil alih sepenuhnya semua pintu masuk sempadan sebaik agensi ini mempunyai skim perkhidmatan sendiri selepas RUU diluluskan.

"Daripada 22 pintu masuk itu, MCBA memfokuskan pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru," katanya.

Beliau berkata, MCBA adalah agensi barisan hadapan menyedia perkhidmatan kawalan dan pemeriksaan bersepadu dan komprehensif di semua pintu masuk sempadan.

"Agensi memfokuskan lapan fungsi utama iaitu mempermudah orang ramai keluar masuk di pintu sempadan, pemeriksaan barangan, kenderaan dan kargo, mengawal kebolehterimaan makanan termasuk haiwan dan tumbuhan; memeriksa kenderaan persendirian dan perdagangan dan mengawal kemasukan produk makanan dan produk kesihatan.

"Selain itu, MCBA berfungsi mengawal kebolehterimaan hidupan liar dan produk berasaskan hidupan liar serta melaksanakan penguatkuasaan, pemantauan, penahanan, risikan, siasatan, rondaan dan pendakwaan selain melaksanakan pengurusan dan pentadbiran di kawasan operasi," katanya.

Hazani berkata, RUU penubuhan agensi itu juga akan meminda 34 akta sedia ada yang lain.

"Buat masa ini dari segi penugasan, MCBA menjalankan penugasan mengikut 3C iaitu coordinate (koordinasi), command (Perintah) dan control (Kawalan) berikutan tiada lagi undang-undang khusus agensi berkenaan.

"Penugasan 3C ini digunakan untuk menjalankan penugasan bersama agensi lain, kita sentiasa koordinat bersama agensi lain," katanya.

Menurutnya, penubuhan MCBA bersesuaian kerana di negara lain sudah mempunyai agensi kawalan sempadan sendiri seperti di Singapura yang mempunyai Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) dan di Australia Pasukan Sempadan Australia (ABF).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 1:04 PM