Shahul Hamid Abdul Rahim
Shahul Hamid Abdul Rahim
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Melaksanakan tindakan tegas, tanpa kompromi dan belas kasihan kepada mereka yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan adalah kaedah paling ampuh untuk mencegah ketirisan barang kawalan di sempadan.

Penganalisis jenayah yang juga pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim menjelaskan jika tiada ketegasan pelaksanaan tugas oleh pihak berwajib, apa sahaja rancangan kerajaan untuk membanteras ketirisan tidak memberi makna termasuk penubuhan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA).

Beliau berkata, operasi menangkap dan mendakwa pihak yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan perlu diperhebatkan kerana memang jelas kegiatan berkenaan menyebabkan kerugian besar kepada negara dalam jumlah berbilion ringgit.

"Sebagai contoh, segelintir penduduk Malaysia yang tinggal di kawasan sempadan dengan negara jiran dilihat seolah-olah menjadikan penyeludupan satu pekerjaan warisan turun-temurun, tak rasa bersalah pun seludup keluar masuk barang.

"Padahal kegiatan penyeludupan jelas merugikan negara bukannya menguntungkan negara.

"Hal ini kena selalu diperjelaskan, didik mereka yang tinggal di penempatan berhampiran sempadan.

"Apa yang paling penting tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi, jika tindakan diambil ke atas pelaku kemungkinan mereka pun takut nak buat kesalahan itu atau serik menjalankan aktiviti penyeludupan lagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, masalah kejadian penyeludupan terus berlarutan kerana tindakan yang mencukupi tidak diambil ke atas penyeludup.

Katanya, bukan rahsia lagi bahawa segelintir penduduk tinggal di sempadan 'mencari makan' dengan menyeludup tidak kiralah apa pun yang diseludup.

"Ini bukan pasal kasihan. Ini masalah kebiasaan aktiviti salah yang diteruskan. Jika dibuat penggiliran penugasan penguat kuasa, orang lama memberitahu kepada orang baru bahawa kerja itu (menyeludup) sebagai cari makan penduduk.

"Jadi penguat kuasa baru bertugas rasa macam serba salah untuk bertindak, akhirnya kes penyeludupan tiada penyelesaian.

"Mungkin orang lama dah ajar, janganlah kacau, orang kampung cari makan sahaja pun," katanya.

Shahul Hamid berkata, ajaran seumpama itu menyebabkan petugas yang baru ditukarkan akan serba salah dan meneruskan apa yang sudah dimulakan sekian lama.

"Hakikatnya tak boleh lagi ada sikap bertimbang rasa dalam isu ini kerana usaha perlu dijalankan untuk mencegah.

"Kalau tidak, ia akan berterusan sampai bila-bila dengan tanggapan seludup beras, minyak masak, bahan api dan sebagainya konon memang itulah kerja cari makan mereka (penduduk sempadan yang terbabit penyeludupan)," katanya.

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan SBA.

Beliau dilapor berkata, Kabinet sudah merestui cadangan menubuhkan entiti baharu SBA yang akan memakai satu nama dan seterusnya beroperasi sebagai satu agensi kawalan sempadan baharu dengan RUU mengenai dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku pertama atau Mac tahun ini bagi tujuan kelulusan.

Pada Belanjawan 2024 dibentang Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan SBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Inisiatif SBA dirancang sejak 2018 bagi menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk, antaranya Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:55 PM