GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan agensi tunggal kawalan negara (SBA) perlu diteliti agar kuasa penuh dapat diberikan supaya tidak berlaku pertindihan kuasa.

Penganalisis perundangan dan jenayah, Shahul Hamid Abddul Rahim berkata, projek rintis bagi SBA adalah satu inisiatif yang baik daripada kerajaan bagi menyelaraskan koordinasi antara pelbagai agensi kawal selia yang bertanggungjawab di sempadan.

"Setiap agensi melaksanakan peranan masing-masing sebelum ini dapat diselaraskan dalam satu agensi khas seperti SBA serta mampu meningkatkan kecekapan sistem penyampaian.

"Penubuhan agensi khas ini, akan memberi impak dan memudahkan kerja penguatkuasaan dilakukan dalam membanteras jenayah rentas sempadan.

"Namun begitu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang akan merangka RUU penubuhan SBA perlu memberi kuasa mutlak terhadap agensi ini supaya tidak berlaku pertindihan kuasa dengan agensi lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, undang-undang sedia ada daripada 20 agensi penguat kuasa yang akan terbabit dalam SBA perlu digabungkan dan dikaji semula dalam merangka RUU agensi ini.

Shahul berkata, penubuhan agensi yang menjaga 141 pintu masuk sempadan negara dilihat mampu meningkatkan keselamatan dan kecekapan dalam membendung jenayah rentas sempadan.

"Saya berharap jenayah rentas sempadan seperti pembolosan, penyeludupan warga asing atau barangan terlarang dapat dibanteras sepenuhnya sekiranya agensi ini berjaya ditubuhkan kelak.

"Pembanterasan jenayah membabitkan kawalan di sempadan diberi kuasa penuh kepada SBA tanpa campur tangan dari agensi penguat kuasa lain," katanya.

Menurutnya, penubuhan agensi khas mengawal selia sempadan negara adalah suatu insiatif jangka masa panjang dalam meningkatkan keselamatan sempadan negara.

"Perkara paling utama penubuhan SBA adalah RUU yang akan dirangka harus meneliti bidang kuasa agensi ini dan koordinasi antara semua agensi penguat kuasa terbabit," katanya.

Terdahulu media melaporkan, KDN bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang merangka RUU penubuhan SBA.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan RUU berkenaan dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 1:04 PM