PESAWAT SIA selamat mendarat di Bangkok selepas bergelut dengan  gelombang angin ekstrim.
PESAWAT SIA selamat mendarat di Bangkok selepas bergelut dengan gelombang angin ekstrim.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sembilan daripada 16 rakyat Malaysia dilaporkan cedera susulan insiden gelombang angin ketika menaiki penerbangan SQ321, Singapore Airlines (SIA) dari London ke Singapura yang mendarat cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand, semalam.

Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini berkata, semua mangsa yang cedera termasuk seorang anak kapal sedang dirawat di dua hospital.

Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital selain menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia terbabit.

"Pada masa ini, enam rakyat Malaysia dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan tiga orang lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

"Semua mangsa mengalami kecederaan fizikal dan dalaman dengan seorang mangsa mengalami kecederaan kritikal tetapi dalam keadaan stabil.

"Mereka berada di bawah pengawasan di wad secara berasingan dan sedang menunggu laporan perubatan," kata kenyataan itu.

Kementerian Luar turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan supaya semua mangsa cedera cepat sembuh.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok yang beralamat di Kronos Sathorn Tower Level 17, 46 North Sathorn Road, Silom Bang Rak, Bangkok atau menerusi talian +66-2340-5731/5732 (waktu pejabat) atau +66-87-028-4659 (selepas waktu pejabat).

Terdahulu, Ketua Pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn berkata, kematian dalam kejadian itu membabitkan seorang lelaki British berusia 73 tahun.

SIA mengatakan penerbangan mengalami gelombang angin ekstrim secara tiba-tiba di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 37,000 kaki kira-kira 10 jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow, yang memaksa juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 12:40 PM