Aina Abdul. FOTO ROHANIS SHUKRI
Aina Abdul. FOTO ROHANIS SHUKRI
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Aina Abdul teruja kerana bakal beraksi buat pertama kalinya di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 11 Mei ini.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 30, berkata, ia juga konsert pertamanya dengan iringan barisan 80 pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MP0) di bawah pimpinan konduktor Ahmad Muriz Che Rose itu.

"Pihak DFP melamar saya tahun lalu untuk mengadakan simfoni bersama saya yang pertama kali di Malaysia.

"Pada mulanya, saya fikir mereka mahu buat 'audition' (uji bakat) kerana bukan senang penyanyi muda seperti saya nak dapat segmen dengan MPO itu. Tapi sebaliknya saya ditawarkan buat konsert dengan barisan pemuzik penuh orkestra," katanya.

Aina berkata, sebagai penyanyi, pastinya dia sukar menolak peluang keemasan untuk beraksi di dewan berprestij berkenaan.

Katanya, ia juga peluang untuknya tampilkan sisi Aina Abdul yang lebih serius dan tersusun di pentas nyanyian.

"Saya teruja tetapi pada masa sama 'takut' kerana pentas DFP ada 'audience' (penontonnya) dan kelas yang tersendiri," katanya.

Bagaimanapun, kata Aina, dia berasa tekanan untuk beraksi di DFP yang juga pentas untuk nama-nama besar seperti Datuk M Nasir dan Dayang Nurfaizah.

"Sebagai artis muda saya tidak mahu lepaskan peluang untuk beraksi di pentas DFP.

"Saya juga akan bekerjasama dengan beberapa penggubah untuk besarkan lagu balada untuk dipersembahkan pada konsert nanti," katanya yang akan menyampaikan rangkaian lagu popular seperti Sumpah, Semalam dan Terus Hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 2:16 PM