NOREHAN bersama empat  anaknya.
NOREHAN bersama empat anaknya.
Nurul Husna MahmudRedzuan MuharamHidayatidayu RazaliMary Victoria Dass dan Zuhainy Zulkiffli dan Ahmad Hasbi


Johor Bahru: "Saya sahut cabaran tidak berhenti kerja walaupun berdepan cabaran mengurus empat anak syurga termasuk anak sulung yang terlantar demi membantu suami mencari rezeki serta memenuhi keperluan anak," kata Norehan Ishak, 46.

Norehan berkata, dia reda dengan ujian Allah apabila dia dan pasangan, Mohd Azmi Dailami, 43, dikurniakan empat cahaya mata OKU yang kini berusia antara lima hingga 12 tahun.

Menurutnya, cahaya matanya termasuk Muhammad, 12, mengalami kecacatan pelbagai manakala tiga anaknya termasuk Siti Aisyah, 9, Siti Fatimah, 7 dan Luqman Nur Hakim, 5, menghidap autisme.

Katanya, bukan mudah bagi seseorang ibu bagi mengurus tiga anak autisme yang mengalami kelewatan perkembangan selain memberi jagaan kepada anak OKU terlantar.

"Pada belah pagi, saya bangun awal bagi memberi penjagaan kepada Muhammad dan siapkan makanan kepada ahli keluarga dan menghantar anak ke sekolah.

"Ibu dan bapa saya yang tinggal berjiran jaga Muhammad sementara saya pulang bekerja manakala suami yang bekerja sebagai penyelia keselamatan di bandar raya membawa pulang anak dari sekolah.

"Selepas pulang ke rumah, saya kembali teruskan rutin urus Muhammad hingga lewat malam selain menyemak kerja sekolah anak serta memastikan mereka melakukan aktiviti bersesuaian sebagai terapi autisme.

"Anak kedua saya autisme tahap pertama manakala dua orang lagi tahap kedua, oleh itu mereka ada kekurangan aspek komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku," katanya.

Norehan berkata, dia yakin setiap ibu yang memiliki anak OKU pasti mengharungi tekanan hebat daripada segi kewangan, kawalan emosi dan sebagainya.

Katanya, selain perlu memenuhi temu janji di hospital setiap enam bulan sekali bagi anaknya, dia menanggung perbelanjaan pembelian susu khas bagi anak sulung serta lampin pakai buang mencecah lebih RM1,000.

"Jika saya berhenti bekerja mungkin terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami selain tidak dapat memenuhi beberapa keperluan anak.

"Dua orang anak autisme kami iikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Alhamdulillah hasil pembelajaran di sekolah mahupun terapi dijalani di rumah, anak kedua dan ketiga saya memperlihatkan beberapa perubahan termasuk perbualan, pengiraan dan bacaan.

"Ia suatu kepuasan bagi saya yang turut bersyukur kepada Illahi," katanya.

Norehan berkata, dia tidak pernah putus berdoa bagi kesembuhan anak sulung selain kejayaan anak kedua hingga keempat.

"Mereka bukan saja tiket saya ke syurga malah jantung hati saya.

"Saya melakukan terbaik demi Allah, jika kerana bukan Allah, Saya mungkin sudah berputus asa," katanya ketika ditemui di kediamannya di 18, Jalan Semikai Kampung Pasir, Tampoi di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 12:01 PM