SAARI dan Farisha Amira menunjukkan gambar terakhir Allahyarham Sunny Dell Ashraff di rumah mereka di Taman Merpati, Assam Jawa. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
SAARI dan Farisha Amira menunjukkan gambar terakhir Allahyarham Sunny Dell Ashraff di rumah mereka di Taman Merpati, Assam Jawa. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: "Arwah anak ( Sunny Dell Ashraff Saari ) ada meninggalkan pesanan kepada rakan-rakan supaya tolong membuat keranda, galikan kubur dan jangan tinggalkan dia bersendirian. Malah dia meminta mendoakan kesejahteraannya," ujar Saari Aman, 70.

Dalam kejadian petang semalam, Ashraff lemas ketika mandi bersama lima rakannya di Sungai Balak, Batang Kali, Hulu Selangor.

Menurutnya, pesanan terakhir itu disampaikan rakan arwah anaknya yang melawat kediaman mereka malam tadi.

"Ashraff sepatutnya melapor diri bertugas sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang pengeluar sarung tangan di Bestari Jaya di sini, hari ini.

"Anak saya itu menghadiri temu duga di kilang berkenaan semalam dan pulang ke rumah pada jam 3 petang hari sama.

"Ashraff sempat menikmati bihun goreng dimasaknya sebelum meminta izin dia dan isteri, Jemela Mohd Yusoff, 64, untuk pergi mandi di Sungai Balak. Pada mulanya, isteri berat hati nak lepaskan arwah ke tempat itu. Namun, arwah tetap juga mahu pergi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Merpati, Assam Jawa, di sini.

Saari berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa anak bongsu daripada sembilan beradik itu selepas anak keempatnya yang menetap di Kundang, Rawang datang ke rumah.

Anak saudara mangsa, Farisha Amira Jafridin, 21, pula menyifatkan perwatakan Allahyarham seorang yang ceria selain penyeri keluarga.

"Sebak dan pilu memikirkan kejadian itu kerana arwah rapat dengan saya sejak dari kecil walaupun umur kami beza dua tahun.

Menurutnya, jenazah Allahyarham ketika ini berada di Hospital Kuala Kubu Bharu untuk ujian saringan Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat mangsa ditemui pada 9.55 malam kelmarin iaitu kira-kira kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.31 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dihantar ke lokasi.

Berita berkaitan


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 5:00 PM