Allahyarhamah Azizah Ismail, 48.
Allahyarhamah Azizah Ismail, 48.
Hassan Omar


Masjid Tanah: Pada usia 23 tahun, Siti Hajar Nor Azlan bukan hanya perlu memelihara bayi berusia lima bulan malah mengambil

alih tugas arwah ibunya menjaga empat adik.

Dia terpaksa memikul tanggungjawab berat itu selepas ibu tercinta, Azizah Ismail, 48, menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan covid-19 semalam.

Ibu muda itu harus memastikan adik yang masih kecil, Siti Norjannah, 10, dan tiga yang sudah remaja, Siti Mariam, 14, Mohd

Azizul, 19 dan Mohd Azizan, 20, mampu meneruskan kehidupan tanpa ayah dan ibu.

Katanya, arwah ibu disahkan positif covid-19 selepas menjalani ujian calitan di sebuah klinik swasta di pekan ini pada 2 Ogos

lalu.

"Saya membawa ibu ke Hospital Alor Gajah tetapi doktor memindahkannya ke Hospital Melaka pada 3 Ogos berikutan kadar

oksigen dalam tubuh semakin berkurangan.

"Saya, suami dan empat adik terpaksa memakai gelang merah jambu dan menjalani kuarantin kendiri mulai 6 Ogos lalu hingga 19 Ogos ini," katanya ketika dihubungi di Kampung Telok Belanga, Kuala Sungai Baru, di sini, tadi.

Siti Hajar berkata, arwah ibu yang bekerja sebagai pembantu kedai ikan di pantai Pengkalan Balak, di sini, membuat panggilan video kepadanya pada malam Sabtu lalu dan menyatakan hasrat mahu pulang kerana sudah beransur sihat.

"Ibu sekali lagi membuat panggilan video pagi kelmarin dan yakin dibenarkan pulang berikutan keadaan kesihatan yang semakin baik," katanya.

Bagaimanapun dia terkejut apabila doktor menghubunginya dan memaklumkan jantung arwah ibu semakin lemah dan

kadar oksigen dalam tubuh semakin berkurangan pagi semalam.

"Arwah ibu dilaporkan meninggal dunia pada jam 8.41 pagi semalam dan kami tidak dapat membantu menguruskan jenazah kerana masih menjalani kuarantin," katanya.

Siti Hajar berkata, ibunya sebelum ini sering berpesan supaya dia memastikan keempat-empat adiknya sentiasa mengutamakan solat.

"Arwah ibu mahu saya memastikan segala urusan harian dua adik yang sudah bekerja kilang dan dua adik yang masih bersekolah

sentiasa dalam keadaan teratur," katanya.

Jenazah arwah dikebumikan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telok Belanga pada jam 10 malam tadi.

Sesiapa ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Siti Hajar dengan menghubungi talian 016-3643041.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 4:56 PM