NUR Izzuddin (kanan) dan Sze Fei memastikan skuad negara layak ke separuh akhir Piala Thomas. FOTO BERNAMA
NUR Izzuddin (kanan) dan Sze Fei memastikan skuad negara layak ke separuh akhir Piala Thomas. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani muncul wira selepas menghadiahkan mata kemenangan ketika Malaysia membenam cabaran Jepun, 3-1 di suku akhir Piala Thomas, sebentar tadi.

Pada perlawanan di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China, Sze Fei-Izzuddin dipaksa berhempas-pulas ketika berdepan Akira Koga-Taichi Saito sebelum mencatat kemenangan 18-21, 21-15, 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam enam minit.

Lebih manis, kemenangan Izzuddin-Sze Fei hari ini menyaksikan mereka berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan Koga-Saito selepas tewas dalam semua tiga pertemuan sebelum ini.

Kemenangan itu menamatkan penantian Malaysia selama lapan tahun tidak mara ke peringkat empat terbaik dengan kali terakhir pada 2016 di Kunshan.

Kejayaan skuad Piala Thomas mara ke separuh akhir bermula dengan Lee Zii menghadiahkan mata sulung selepas membenam cabaran membenam Kenta Nishimoto 21-13, 21-3.

Bagaimanapun, kedudukan terikat 1-1 apabila beregu pertama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 14-21, 19-21.

Perseorangan kedua negara, Leong Jun Hao kembali meletakkan Malaysia di depan selepas menumpaskan Koki Watanabe 21-13, 21-10.

Di separuh akhir, Malaysia akan berdepan China yang menewaskan India, 3-1 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 9:12 PM