AKSI V Shem (kiri) dan Juan Shen, hari ini. FOTO Ihsan BAM
AKSI V Shem (kiri) dan Juan Shen, hari ini. FOTO Ihsan BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas sering kecewa di pusingan pertama kecuali mendapat kemenangan percuma dan mengalahkan gandingan senegara, akhirnya beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Low Juan Shen memecah kebuntuan berjaya mara ke pusingan kedua dengan disaksikan ribuan penyokong sendiri di Arena Axiata sebentar tadi.

V Shem-Juan Shen mara ke pusingan kedua Masters Malaysia dengan mengalahkan juara Seluruh England, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 15-21, 21-14, 21-19.

Sejak bergandingan pada Oktober 2021, hanya dua kali pasangan profesional ini berjaya melepasi pusingan pertama iaitu di Terbuka Korea 2022 dengan mengalahkan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Lim Khim Wah dan Masters Korea dengan mendapat kemenangan percuma apabila lawan dari India, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala menarik diri.

Lima lagi kejohanan yang disertai mereka sebelum ini iaitu di Terbuka Denmark, Terbuka Perancis, Terbuka Hylo, Masters Indonesia, Terbuka Indonesia (2021), Terbuka Thailand, Masters Indonesia dan Terbuka Malaysia (2022) semuanya berakhir dengan kekalahan di pusingan pertama.

"Akhirnya kami menang juga. Saya sebenarnya sangat gembira walaupun perlawanan hari ini sangat sukar. Ketika di set kedua, mereka sedikit tertekan dan kami mengambil kesempatan itu sebaik mungkin," Kata V Shem yang sebelum ini meraih perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Tan Wee Kiong.

Sementara itu, pilihan kelima dan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah mara ke pusingan kedua apabila mereka mengalahkan wakil Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 21-16, 21-19

Turut mara ialah Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tidak berdepan masalah untuk mengetepikan pasangan profesional, Nur Mohd Azriyn Ayub-Lim Khim Wah, 21-13, 21-14.

Pasangan muda negara, Chang Yee Jun-Yap Roy King juga mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan wakil Ireland, Joshua Magee-Paul Reynolds 21-14, 21-20.

Bagaimanapun, hasrat peminat badminton negara untuk menyaksikan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meloloskan diri ke pusingan kedua tidak kesampaian apabila pasangan berkenaan kalah 14-21, 20-22 kepada pilihan keenam dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Nasib yang sama turut menimpa pasangan profesional, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong apabila mereka kalah 18-21, 13-21 kepada pilihan ketiga juga dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Turut terkandas di pusingan kelayakan ialah Chia Weijie-Low Hang Yee selepas mereka kalah 16-21, 15-21 kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 8:50 PM