MUHAMAD Nursharif diselamatkan nelayan sebelum diserahkan kepada pihak APMM dan dibawa ke HRPZ II untuk rawatan lanjut. FOTO ihsan pembaca
MUHAMAD Nursharif diselamatkan nelayan sebelum diserahkan kepada pihak APMM dan dibawa ke HRPZ II untuk rawatan lanjut. FOTO ihsan pembaca
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Pengawal keselamatan yang hilang di laut selepas terjatuh dari bot di Pantai Mek Mas, di sini, petang semalam, ditemukan selamat.

Muhamad Nursharif Mat Nasir, 28, ditemukan nelayan jam 10.30 pagi tadi selepas hampir 17 jam hilang di laut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, mangsa dijumpai dalam jarak 6.3 batu nautika dari barat laut Pantai Mek Mas.

"Keadaan mangsa agak lemah mungkin disebabkan tempoh yang agak lama berada di tengah laut dan menurut mangsa, dia berenang tanpa henti dalam usaha menyelamatkan diri.

"Mangsa terjatuh ke laut ketika ingin menarik pukat yang digunakan untuk menangkap sotong namun tergelincir dan sepanjang berenang tanpa sebarang peralatan itu, mangsa ada ternampak bot nelayan lain dan cuba meminta tolong.

"Bagaimanapun, sebaik ditemukan sekumpulan nelayan lain pagi tadi, mangsa diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Besar di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dikhuatiri hilang di laut selepas bot nelayan tanpa tuan ditemukan terdampar di Jalan Pantai Mek Mas, Kampung Kedai Buloh di sini.

Bot itu dijumpai orang awam sebelum menyedari ia milik Muhamad Nursharif namun mangsa didapati terjatuh ke laut ketika memukat sotong semalam.

Sementara itu, ibu mangsa, Rosiah Zainal Abdin, 46, meluahkan rasa syukur kerana anak ketiga dari lima beradik itu ditemukan dengan selamat.

Dia berkata, sejak kehilangan Muhamad Nursharif petang semalam, mereka sekeluarga tidak henti berdoa agar anaknya ditemukan walau hidup atau mati.

"Malam tadi kami sekeluarga berkampung di tepi pantai (Mek Mas) menunggu berita mengenai Nursharif dan hati saya mengatakan dia masih ada.

"Tepat sekali naluri saya itu dan hari ini sebaik mengetahui Nursharif dijumpai dalam keadaan masih hidup, air mata kegembiraan terus mengalir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 2:55 PM