Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEADAAN cuaca yang tidak menentu menyebabkan lebih 50 nelayan di Kuala Besar, Jalan PCB dan Pantai Mek Mas, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, tidak dapat turun ke laut sejak dua hari lalu.

Mereka dijangka tidak dapat mencari ikan dan hasil tangkapan lain di laut sehingga Khamis ini.

Nelayan, Nik Mat Ibrahim, 60, berkata, keadaan ribut yang kuat dan air pasang besar sejak semalam menyebabkannya tidak turun ke laut.

Katanya, sebagai nelayan tradisional yang menggunakan bot kecil, mereka tidak berani turun ke laut sejak semalam.

“Untuk mengisi masa terluang, saya dan rakan mengambil peluang ini untuk membaiki bot dan pukat yang rosak.

“Saya harap keadaan cuaca kembali baik kerana perlu turun ke laut mencari rezeki untuk keluarga,” katanya ketika ditemui di Pantai Mek Mas, Kota Bharu, hari ini.

Seorang lagi nelayan, Abd Wahab Samad, 65, berkata, ribut kuat di laut dan air pasang besar membahayakan nyawa sekiranya mereka turun mencari rezeki.

“Sebaik mengetahui keadaan cuaca buruk yang berlaku sejak semalam hingga Khamis ini, saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak turun ke laut.

“Bukan sahaja berbahaya kepada nelayan tradisional, malah nelayan laut dalam juga tidak digalakkan ke laut.

“Kami harap keadaan ribut kuat dan air pasang besar ini hanya sementara kerana perlu mencari rezeki untuk menyara keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 1:41 PM