SITI Nur Taqifah Mala meluangkan masa bersama ibu bapa dan ahli keluarganya ketika menziarahi kediaman ibu bapanya di Kajang. FOTO Aizuddin Saad
SITI Nur Taqifah Mala meluangkan masa bersama ibu bapa dan ahli keluarganya ketika menziarahi kediaman ibu bapanya di Kajang. FOTO Aizuddin Saad
Noor Hidayah Tanzizi


Kajang: "Saya anggap diri ini bertuah kerana ibu ayah serta adik-beradik tidak pernah membezakan saya sejak hari pertama saya memilih Islam sebagai pegangan hidup malah kasih sayang antara kami kekal 'mekar' sehingga kini."

Demikian kata Siti Nur Taqifah Mala Abdullah, 48, yang mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi mengenai keterbukaan ibu bapa, M Soronoe, 75, dan S Subramaniam, 76, menerima pilihannya memeluk Islam ketika dia berusia 20 tahun pada 1996.

Selepas 28 tahun berlalu, kehidupan mereka masih harmoni dan hubungan keluarga kian erat, malah mengakui dirinya juga menerima sokongan keluarga meskipun pegangan hidup mereka berbeza, malah mereka saling menziarah antara satu sama lain terutama pada perayaan Aidilfitri dan Deepavali.

Berkongsi kisahnya, Siti Nur Taqifah Mala berkata, dia tidak menyembunyikan keputusannya untuk memeluk Islam dan turut memberitahu perkara itu kepada ibu bapa sebelum ke pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Menurutnya, pada mulanya ibu bapa terkejut dan berulang kali menyoal keputusannya namun mengakui ia tidak berlaku dalam suasana tegang biarpun bapa dilihat agak kecewa dengan keputusannya yang mahu menukar agama.

"Selepas mengucap dua kalimah syahadah, saya mendalami ilmu agama di sebuah pondok di Kelantan dan perkara itu diketahui mak dan ayah, malah sepanjang saya di sana ayah selalu telefon bertanya khabar dan kirim wang belanja juga.

"Mak pula selalu pesan untuk saya menjadi Muslim yang patuh dan tidak meninggalkan solat. Itu membuatkan saya terharu dan sebak walaupun berbeza agama mak dan ayah tidak buang saya terus daripada keluarga sebaliknya selalu ada bersama," katanya ditemui di rumah keluarga di Jalan Reko, di sini.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, lebih membuatnya terharu, ketika dia dan suami, Asmadi Abdul Kadir, 47, berdepan masalah dalam perniagaan beberapa tahun lalu, ibu bapa, adik-beradik dan keluarga mentua juga banyak membantu.

"Keluarga saya membantu tanpa mengungkit pilihan saya (menukar agama) dan bersedia membantu kami. Setiap kali berdepan masalah mak selalu pesan setiap agama mengajar kita sentiasa berbuat baik, setiap kesulitan akan ada jalan penyelesaian dan jangan putus berdoa," katanya.

Katanya, mengenai perkongsiannya di TikTok, ia hanya untuk kenangan selain penghargaan buat keluarga terutama ibu bapanya yang tidak pernah meninggalkannya serta menerima kehidupan baharu sebagai Muslim dengan penuh sokongan.

"Saya memang memilih agama Islam tetapi keluarga saya tetap sama sampai bila-bila. Jadi saya dedikasikan video itu untuk keluarga tambahan pula sekarang ayah sudah kurang sihat dan kadang-kadang lupa termasuk kami tujuh anaknya.

"Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa bersama, menerima suami dengan baik dan kami selalu berkumpul. Ini rezeki paling bermakna buat saya," katanya memberitahu hidayah Allah diterima selepas dia bermimpi dipimpin ke masjid dan tercari-cari arah hidupnya sebelum akhirnya memilih Islam.

Sementara itu, Soronoe berkata, dia terima keputusan anak memeluk Islam dengan baik dan tidak pernah terfikir mahu membuang Siti Nur Taqifah Mala yang juga anak kelimanya itu yang memilih pegangan hidup berbeza daripada mereka.

"Mungkin pegangan agama kami berbeza tetapi dia tetap anak yang saya lahirkan jadi tiada sebab untuk saya buang dia dan urusan perkahwinan dia juga kami uruskan, malah dia dan keluarganya dilayan sama seperti anak lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 3:46 PM