PEMPENGARUH, Halim Ahmad memuat naik semula lagu rayanya, Tolong Jangan Tanya hingga tular di laman sosial. FOTO Ihsan Halim Ahmad
PEMPENGARUH, Halim Ahmad memuat naik semula lagu rayanya, Tolong Jangan Tanya hingga tular di laman sosial. FOTO Ihsan Halim Ahmad
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Isu itu tak lapuk dan mungkin boleh relate (berkaitan) dengan ramai orang terutama yang bujang setiap kali tibanya hari raya."

Itu mesej cuba disampaikan pempengaruh dan penyanyi, Halim Ahmad, 38, dalam lagu raya nyanyiannya bertajuk 'Tolong Jangan Tanya' yang mendapat perhatian di TikTok baru-baru ini.

Tularnya lagu itu kerana lirik lagunya yang agak 'makan dalam' buat golongan pak cik dan mak cik untuk tidak bertanya perihal kahwin ketika berkumpul ketika hari raya.

Rata-rata netizen menyifatkan apa disampaikan dalam lagu itu mewakili isi hati mereka yang sering diajukan pertanyaan soal jodoh oleh saudara-mara setiap kali pulang beraya di kampung.

Bercerita lanjut, Halim berkata, lagu itu adalah ciptaan dia sepenuhnya dan sudah dilancarkan tujuh tahun lalu.

"Lama sudah…saya buat lagu dan lirik itu dalam satu malam saja pada awal Ramadan tahun berkenaan.

"Cuma waktu itu tak ada label rakaman besar, pasarkan pun melalui media sosial saja dan tak dapat diputarkan di radio kerana sepatutnya dihantar lebih awal iaitu sebelum Ramadan.

"Jadi, saya tahu ramai tak tahu kewujudan lagu itu jadi cuba nasib muat naik semula lagu itu di TikTok tahun ini kerana teringin juga nak lagu raya sendiri dimainkan.

"Alhamdulillah, karya saya itu diterima jika melihat ruangan komen dan tak sangka sebenarnya, malah ramai juga orang Indonesia sukakannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Halim berterima kasih kepada mereka yang sudi meluangkan masa mendengar lagu berkenaan dan berkongsi di laman sosial mereka.

"Saya harap lagu itu dapat menghiburkan pendengar dan mereka yang sukakan lagu itu boleh menonton versi penuh liriknya di Youtube," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 7:26 PM