TANGKAP layar video rakaman CCTV menunjukkan Mohamad Zakiran membantu warga emas lelaki mencuba pakaian di kedai pakaian  terpakai miliknya. FOTO Tangkap Layar TikTok Mohamad Zakiran Mohd Zaki
TANGKAP layar video rakaman CCTV menunjukkan Mohamad Zakiran membantu warga emas lelaki mencuba pakaian di kedai pakaian terpakai miliknya. FOTO Tangkap Layar TikTok Mohamad Zakiran Mohd Zaki
Redzuan Muharam


Kota Bharu: "Saya bantu pak cik itu kerana tidak sampai hati dan sebak lihat wajahnya yang ada iras arwah ayah," kata Mohamad Zakiran Mohd Zaki yang juga pemilik kedai pakaian terpakai, Keyran Bundle.

Mohamad Zakiran, 32, memberi reaksi itu selepas video dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di TikTok miliknya, @ReaBundle tular.

Menerusi video itu, kelihatan seorang warga emas lelaki mencuba pakaian sebelum Mohamad Zakiran dilihat datang membantunya.

Video berkenaan meruntun hati netizen dengan rata-ratanya memuji cara Mohamad Zakiran dalam menyantuni warga emas itu.

Berkongsi kisah berkenanan, Mohamad Zakiran berkata, premisnya yang terletak di Pengkalan Chepa di sini, didatangi lelaki berkenaan pada malam kelmarin.

Menurutnya, dia ada di premis ketika itu dan selepas menyedari kehadiran lelaki berkenaan kerana berada di kaunter bayaran.

"Pak Cik itu datang ke kedai selepas Isyak dan masuk tanpa memakai baju serta selipar, hanya berseluar pendek saja.

"Mulanya saya perhatikan saja dia pilih baju sebelum dia ke kaunter untuk bayar.

"Waktu itu, saya nampak di tangannya ada RM5 dan melihat keadaannya membuatkan saya tak sampai hati nak ambil duit tetapi minta pak cik berkenaan pilih seluar pula kerana niat nak belanja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohamad Zakiran, pada awalanya lelaki itu menolak pelawaannya namun menerima juga selepas dipujuk.

"Jadi, selepas ambil sehelai baju dan seluar, dia terus beredar.

"Saya tak sempat nak bertanya lebih lanjut mengenai latar belakangnya kerana sebak cuma ada pesan kepadanya supaya jaga diri.

"Saya ada cuba intai selepas pak cik itu keluar dari kedai dan nampak dia pegang bungkusan nasi sebelum hilang.

"Ralat dan serba salah juga, kerana ada peluang depan mata cuma waktu itu ada pelanggan jadi saya tak boleh tinggalkan kedai," katanya yang sudah menjalankan perniagaan pakaian terpakai sejak lebih setahun lalu.

Berhubung perkongsian videonya di TikTok, Mohamad Zakiran berkata, niatnya sekadar untuk berkongsi pengalaman di platform berkenaan.

"Sebelum ini, saya pernah jumpa ramai pelanggan begitu (susah) namun tak semua saya muat naik di TikTok.

"Tapi kebetulan, terdetik hati saya muat video pak cik itu dan Alhamdulillah, kebanyakan komen diterima positif.

"Tak ada niat lain sekadar berkongsi cerita, lagipun saya ini berhati tisu.

"Jadi, saya harap mereka yang menonton video itu dapat mesej cuba disampaikan dan beringat untuk terus menghargai orang tua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 3:46 PM