ISMAIL Sajiman membantu pasangan suami isteri yang kekurangan wang ketika membeli barangan keperluan menjelang Aidilfitri. FOTO Tangkap Layar  TikTok
ISMAIL Sajiman membantu pasangan suami isteri yang kekurangan wang ketika membeli barangan keperluan menjelang Aidilfitri. FOTO Tangkap Layar TikTok
Redzuan Muharam


Kulai: "Waktu itu dua hari lagi nak raya, kebetulan saya sudah tiada bapa...jadi lihat pak cik itu saya terbayangkan dia macam bapa sendiri."

Itu reaksi Naib Kadi Daerah Kulai Muhammad Ismail Sajiman ketika berkongsi kisah di sebalik pertemuannya dengan suami isteri yang mengundang sebak hingga dia tergerak hati membantu mereka tempoh hari.

Kisah itu dikongsikan Ismail Sajiman menerusi video dimuat naik di akaun TikTok miliknya, kelmarin dan kini meraih 2.4 juta tontonan dengan rata-rata warganet turut sebak selepas menontonnya.

Bercerita lanjut, Ismail Sajiman berkata, video itu dirakam secara spontan ketika dia berada dalam sebuah pasar raya di sini pada Isnin lalu.

"Waktu itu, mereka kebetulan berada di depan saya dan yang sedihnya saya nampak pak cik itu berkira-kira untuk membeli barang.

"Mulanya saya perhatikan dulu dan waktu nak bayar, jumlah keseluruhannya RM80.80 dan dalam dompet hanya ada RM80 jadi mereka perlu tambah 80 sen.

"Nampak sedih kerana mereka ambil barangan keperluan seperti beras dan gula, itu pun cukup-cukup saja jadi selepas selesai urusan di kaunter, saya hulurkan sedikit sumbangan kerana dah niat nak bantu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

ISMAIL Sajiman membantu pasangan suami isteri kerana tidak sampai hati melihat mereka. Gambar kanan, Ismail Sajiman. FOTO Ihsan Muhammad Ismail Sajima & tangkap layar  TikTok
ISMAIL Sajiman membantu pasangan suami isteri kerana tidak sampai hati melihat mereka. Gambar kanan, Ismail Sajiman. FOTO Ihsan Muhammad Ismail Sajima & tangkap layar TikTok

Lebih membuatkan Ismail Sajiman tersentuh apabila melihat reaksi lelaki berkenaan yang sangat menghargai sumbangan diberikan olehnya walaupun tidak seberapa.

"Pak cik itu bersungguh ucap terima kasih dan sampai saya beredar dia kejar kerana sangat terharu.

"Tapi saya sempat minta nombor telefon pak cik itu dan tanya serba sedikit latar belakangnya sebelum beredar.

"Menurut pak cik itu, dia dan isteri mempunyai dua anak namun salah seorang sudah meninggal dunia. Manakala, seorang lagi Orang Kurang Upaya (OKU) kategori kesihatan mental.

"Mereka ada dapat bantuan My Kasih tapi itu pun atas kapasiti ada anak OKU jadi sedih dengar ceritanya namun itulah realitinya dan kisah benar , bukan content (kandungan).

"Apa yang buat saya sebak adalah ia berlaku sebelum nak raya dan nampak ada orang susah depan mata di kala orang lain teruja nak beraya," katanya.

Ismail Sajiman berkata, video itu dimuat naik selepas mendapat izin daripada pasangan berkenaan dengan niat memberi peringatan kepada yang menonton untuk menghargai ibu bapa, keluarga dan tahu erti syukur kerana ramai di luar sana dalam kesusahan.

"Saya sudah 15 tahun jadi naib kadi selain ada bantu hal pengurusan pusaka jadi tahu pelbagai cerita keluarga sampai ada yang bergaduh berebutkan harta selepas emak dengan ayah meninggal dunia.

"Diharap, kisah dikongsikan itu dapat diambil sebagai iktibar untuk kita menghargai keluarga selagi mereka masih ada dan cuba bantu tak semestinya dalam jumlah banyak.

"Selain itu, mereka yang menonton juga boleh ambil positif daripada video saya dengan lihat sisi mahal iaitu betapa romantiknya pak cik dan mak cik itu walaupun hanya Allah SWT saja tahu kesusahan mereka.

"Jujurnya, saya bersyukur dipertemukan dengan pak cik dan mak cik itu serta sudah merujuk kes mereka dengan jabatan agama memandangkan saya pun amil zakat," katanya.

Ismail Sajiman berkata, usahanya membantu yang memerlukan juga tidak akan terhenti di situ sebaliknya berterusan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Pertubuhan Darul Salam ditubuhkan sejak tiga tahun lalu.

"NGO itu saya tubuhkan dengan fokus membantu anak yatim menerusi bantuan kilat tapi akan gerakkan juga inisiatif kesan mereka yang memerlukan bagi memperluaskan aktiviti kebajikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 8:12 PM