Ketua polis negara antara penerima hadiah kenderaan daripada Agong. Foto Facebook Rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Ketua polis negara antara penerima hadiah kenderaan daripada Agong. Foto Facebook Rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Suraya Ali


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengurniakan kereta kepada pelbagai lapisan pegawai bagi mengiktiraf sumbangan dan perkhidmatan cemerlang mereka.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi media sosial milik baginda, Keluarga Diraja Johor menerusi Yayasan-Yayasan Diraja Johor mengurniakan pelbagai sumbangan dalam membantu rakyat yang memerlukan.

"Seri Paduka Baginda sejak dahulu lagi mengurniakan kereta kepada pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Johor, pegawai daerah, doktor perubatan serta jururawat.

"Contohnya, pada tahun 2010 Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan 11 kereta dan lapan motosikal berkuasa besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pada 2018, baginda mengurniakan Proton Suprima kepada semua Pegawai Daerah di Johor," menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Seri Paduka Baginda juga pernah mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, pada September 2020 bagi menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan.

"Baginda juga pernah mengurniakan Proton X70 kepada tiga doktor sebagai penghargaan di atas khidmat mereka dalam pasukan perubatan Istana Johor pada 2021.

"Malahan bukan sahaja kereta, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan 10,000 paket beras percuma seberat 10 kilogram di Johor, tahun lalu dalam membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah," katanya.

Dalam hantaran yang sama turut dimuat naik beberapa keping gambar memaparkan Seri Paduka Baginda hari ini mengurniakan kereta Proton X90 kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Selain itu, kereta itu turut dikurniakan kepada Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, dan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.

Turut menerima kurniaan kereta daripada Seri Paduka Baginda ialah Mantan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin, dan Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

Kurniaan daripada Seri Paduka Baginda itu disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim sebagai tanda mengiktiraf sumbangan serta khidmat cemerlang kesemua penerima.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 6:12 PM